Monday, August 8, 2022

Pencuri tong gas dihukum penjara

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencuri enam tong gas dalam satu kejadian pecah masuk di sebuah kedai makan Batu 6, Jalan Penrissen, 6 Julai lalu.

Tertuduh Kok Hui, 34, mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mahkamah menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama dua orang lelaki telah memecah masuk kedai dan mencuri enam buah tong gas milik pekedai makan berusia 30 tahun.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah dimaklumkan oleh pekerjanya bahawa pintu belakang kedai makan dibuka secara paksa dan penutup jendela gulung telah diumpil.

Pengadu kemudian mendapati enam buah tong gas telah hilang dicuri hingga menyebabkan kerugian RM1,200.

Pengadu kemudian membuat laporan polis, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh, manakala dua lagi rakannya masih bebas.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh juga dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah, tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 15(1) kanun yang sama, kerana didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Pendakwaan kedua-dua kes dikendali oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru