Thursday, August 18, 2022

Masalah dapatkan pekerja asing, dan bagaimana sikap kita…

Secara Rawak

Kita akan marah dan kecewa apabila rakyat Malaysia diperdagangkan, diperdaya atau tidak dilayan dengan baik oleh majikan di negara luar.

Namun adakah kita mempunyai perasaan yang sama apabila ada majikan di negara ini melayan pekerja asing tanpa kemanusiaan?

Bukan tidak pernah kita mendengar kes pekerja asing ditipu, diperdaya, dan dilayan dengan kejam oleh majikan di Malaysia.

Walaupun jumlahnya tidak banyak, ini sudah cukup untuk mencalarkan imej negara di mata luar.

Ironinya, kita mahu dilayan dengan baik oleh orang lain, tetapi sering kita tidak bersikap demikian terhadap orang lain.

Samalah, kita mahu dilayan dengan baik ketika melancong di luar negara, tetapi adakah kita melayan pelancong asing dengan baik ketika mereka mengunjungi negara ini.

Kita pernah mendengar kes pembantu rumah diseksa, diseterika, disiram dengan air panas, tidak diberi makan dan dipaksa bekerja dari pagi sampai malam

Ada yang tidak diberi gaji sampai bertahun-tahun, termasuk oleh mereka yang berstatus tinggi dalam masyarakat.

Mereka ini tidak berhati perut. Sebenarnya mereka ialah manusia berhati haiwan.

Disebabkan mereka inilah, imej dan reputasi negara tercemar.

Hanya kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.

Kini, kita berdepan dengan masalah kekurangan pekerja di pelbagai sektor termasuk pembinaan, pembuatan dan perladangan.

Sektor berkenaan banyak bergantung kepada pekerja asing, terutama dari Indonesia dan Bangladesh untuk bergerak.

Kini Indonesia telah membekukan penghantaran pekerja asing ke negara ini. Ini merupakan satu pukulan kepada Malaysia di sebalik riuh-rendah tentang usaha memeteraikan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Tindakan tegas Indonesia itu tidak harus dipandang negatif.

Indonesia hanya mahu rakyatnya dilindungi dan dilayan dengan adil dan baik oleh majikan di negara ini. Ya, sama sebagaimana kita mahu ahli keluarga kita dan rakyat Malaysia mahu dilayan dengan baik di negara luar.

Maknanya, Indonesia berhak untuk memastikan segala yang dipersetujui melalui MoU itu dipatuhi terlebih dahulu sebelum pekerjanya dibenarkan memasuki Malaysia.

Bukankah sudah agak kerap dilaporkan berlakunya pengabaian dan eksploitasi oleh segelintir majikan di negara ini terhadap pekerja asing, termasuk dari Indonesia?

Memang wajar, Indonesia bertindak proaktif kerana tidak mahu warganya terdedah kepada risiko.

Ini termasuk tidak dibayar gaji, dibayar gaji terlalu rendah, keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang tidak sesuai, malah ada kes pekerja mati di tempat kerja. Keadaan ini sesuatu yang malang.

Kita perlu ingat, buruh paksa dan perhambaan merupakan bentuk pemerdagangan manusia yang dilarang keras di peringkat antarabangsa.

Kita tidak harus memejamkan mata terhadap keadaan yang tidak adil yang diperlakukan terhadap mereka.

Saya sering membayangkan, jikalah kita dilayan dengan teruk sebagai hamba abdi di negara asing ketika kita mencari rezeki, bagaimanakah agaknya respons kita? Adakah kita rela dan suka?
Tentu kita mahu dilayan dengan profesional, dilayan dengan baik, diberi tempat tinggal yang sesuai, dan bekerja dalam suasana yang selesa.

Mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan.

Penyeksaan fizikal, mental dan emosi terhadap pekerja asing tidak harus berlaku.

Sebaliknya, kita perlu melayan mereka mengikut standard antarabangsa.

Kita perlu ingat bahawa mereka datang ke negara ini dengan pengorbanan yang besar.

Mereka meninggalkan kampung halaman dan anak isteri.

Mereka meletakkan harapan yang tinggi terhadap kita. Malah, ada yang bergolok bergadai dan meminjam daripada saudara-mara semata-mata dengan harapan dapat rezeki yang lebih baik.

Kita tidak harus berlagak sombong atau melihat pekerja asing dengan jelek. Kita tidak harus memandang rendah terhadap pekerja asing ini.

Kita perlu mempunyai sikap empati dan simpati. Hanya dengan itu, kita akan melayan mereka dengan sewajarnya.

Ketika ini negara berdepan kekurangan pekerja dalam pelbagai sektor utama.

Kesannya amat mendalam terhadap ekonomi kita. Anggaran kekurangan pekerja adalah sekitar 500,000 orang.

Pada 2019, sebelum dilanda pandemik Covid-19, kita mempunyai 1.9 juta pekerja asing.

Kini, kita kurang sejuta lebih pekerja asing.
Sejak Januari 2022, hanya 19,043 pekerja asing masuk ke negara ini secara sah, iaitu 6.1 peratus daripada kuota sebanyak 310,000 yang diluluskan.

Kita telah mendengar rungutan dan desakan sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan, perhotelan dan pembinaan — betapa pentingya proses mendapatkan pekerja asing disegerakan.

Kita sudah mendengar hampir setahun rungutan mereka ini, tetapi pergerakan atau kemajuannya bagai siput babi.

Seyogia diingatkan, pekerja asing inilah yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan fizikal negara. Merekalah yang turut membantu untuk membangunkan prasarana dan bangunan di negara ini.

Merekalah yang bekerja teruk di ladang. Merekalah juga yang menjaga sebahagian daripada anak dan keluarga ketika anda dapat bekerja dengan tenang di pejabat.

Tetapi, sering kita lupa atau memandang ringan akan perkara ini.

Layanan buruk terhadap pekerja asing – walaupun oleh segelintir majikan – di negara ini tidak harus dibiarkan. Keadan itu perlu dibetulkan.

Jika terus dibiarkan, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada negara dari segi politik, sosial dan ekonomi. Imej negara akan terjejas teruk. Kerugian dari segi ekonomi begitu besar.

Sebarang kekurangan pekerja atau kelambatan membawa masuk pekerja asing akan mengurangkan pengeluaran kerana sektor terbabit beroperasi di bawah keupayaan sebenar.

Kita perlu berusaha dengan gigih untuk mengelakkan apa-apa bentuk penindasan dan pemerdagangan manusia. Sebagai negara yang hendak menuju sebagai negara maju, kita perlu meletakkan negara ini di atas landasan yang betul dari semua segi.

Kita tidak boleh berkompromi dengan standard dengan sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan, kedaulatan dan integriti.

Kita perlu ikut standard antarabangsa, termasuk dari segi layanan terhadap pekerja asing. Semua pihak terutama majikan perlu membantu. Jangan hanya pentingkan diri sendiri atau keuntungan. Jangan hanya pandai hendak memerah tenaga pekerja asing.

Keperluan, kebajikan dan keselamatan mereka perlu dijaga. Salah guna hak asasi manusia tidak boleh dibiarkan. Masalah ini perlu ditangani dengan berkesan oleh semua pihak berkepentingan.

Kita perlu dilihat serius dan komited menanganinya supaya imej Malaysia dipandang tinggi oleh negara luar.

Kita sudah terlalu kerap bercakap, berbincang dan bermesyuarat. Pemimpin politik kita juga sudah terlalu banyak berjanji. Ini masa untuk bertindak bagi memastikan isu berkaitan dengan kemasukan pekerja asing yang amat mendesak ketika ini dilaksanakan dengan pantas.

Kementerian terbabit perlu segera bertindak dengan memberi keutamaan kepada isu ini.

Perdana Menteri telah pun memberi arahan.
Strategi ampuh diperlukan, termasuk mendapatkan pekerja daripada negara lain, melanjutkan permit kepada pekerja asing sedia ada.

Kerajaan perlu mengkaji semua mekanisme atau proses membawa mereka masuk ke negara ini. Pelbagai kerenah birokrasi yang terlalu mencekik hendaklah ditangani dengan berkesan.

Lakarkan strategi jangka panjang untuk menggalakkan pekerja tempatan menyertai sektor yang dianggap kotor dan berbahaya. Kita tidak selama-lamanya dapat bergantung kepada kerja asing, terutama dari Indonesia. Ingat, negara 272 juta jiwa itu akan memintas kita dari segi ekonomi dan pembangunan prasarana dalam tempoh terdekat.

Malaysia tidak akan lagi menjadi negara menarik untuk mereka bekerja suatu masa nanti.

Malaysia perlu dilihat berdaya saing dan berdaya maju dengan sentiasa mempunyai pekerja yang mencukupi, serta sentiasa melindungi mereka dari segi hak asasi dan undang-undang buruh antarabangsa.

• Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru