Sunday, August 7, 2022

Najib-Mahathir  terus berbalas serangan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Buku bertemu ruas.

Berbalas-balas serangan antara dua orang bekas Perdana Menteri berterusan.

Kali ini Datuk Seri  Najib Razak bertindak balas terhadap Tun Dr  Mahathir Mohamad.

Najib menempelak pengerusi Pejuang itu.

Ahli Parlimen Langkawi itu sebenarnya pernah menggesa kerajaan supaya menghentikan bayaran kepada pihak didakwa waris Sultan Sulu pada 2013.

Najib berkongsi keratan sebuah akhbar bertajuk “Henti bayar kerana langgar syarat, Dr Mahathir” pada 13 Mac 2013.

Ahli Parlimen Pekan itu berbuat demikian selepas Mahathir menyalahkan kerajaan BN pimpinan Najib berkaitan tuntutan waris Sulu kepada Malaysia bernilai lebih RM6 bilion, selepas pembayaran dihentikan pada 2013.

“Kelmarin Tun M salahkan saya sebab kerajaan BN dahulu henti bayar kepada wakil Sulu setelah tragedi pencerobohan Sulu pada 2013,” katanya.

“Kini saya muat naik artikel surat khabar 2013 yang disimpan Perdana Leadership Foundation (dijaga Tun M) untuk menunjukkan siapa yang suruh kita henti bayar. Kamu kenal siapa dia tak, Tun?

“Tak ada pula dia salahkan surat bodoh Tommy Thomas. Adakah ini bermaksud ianya Tun M yang luluskan surat Tommy ataupun dia setuju dengan surat berkenaan?” tanya Najib melalui hantaran di Facebooknya.

Mahathir dalam temu bual dengan media mendakwa keputusan yang dibuat Najib mungkir janji untuk membayar RM5,300 setahun kepada waris kesultanan Sulu sejak 2013 merupakan faktor Malaysia terdedah kepada ancaman kedaulatan negara.

ISU tuntutan melibatkan Sabah kembali hangat dibincangkan apabila negara dikejutkan dengan laporan mengenai dua aset anak syarikat minyak milik Petroliam Nasional Bhd atau Petronas dirampas oleh waris Kesultanan Sulu.

Rampasan itu dilaporkan sebahagian daripada perintah tuntutan dikeluarkan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa awal tahun ini di Mahkamah Arbitrasi di Paris, Perancis yang mengarahkan Malaysia membayar sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan itu.

Mereka yang dipercayai waris Sultan Sulu menuntut jumlah besar dalam proses timbang tara berikutan langkah Malaysia menghentikan pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013.

Pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan akan mencabar arahan bayaran pampasan yang diputuskan oleh penimbang tara Sepanyol kepada waris Kesultanan Sulu.

 

 

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru