Saturday, October 8, 2022

PKR bukan mahu pisahkan Sarawak daripada Malaysia

Secara Rawak

KUCHING: Visi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) ‘Sarawak untuk Sarawak yang merdeka dan berdaulat’ bukan bermakna untuk menamatkan negara Malaysia.

Demikian kata Ketua Penerangan dan Komunikasi Keadilan Sarawak Abun Sui Anyit yang mendedahkan para pemimpin Keadilan Sarawak bukanlah pemisah dan Sarawak tidak akan terpisah penuh dari Malaysia.

“Seperti visi para pemimpin terawal Sarawak yang menginginkan Malaysia menjadi sebuah konfederasi bagi tiga negara yang merdeka dan berdaulat iaitu Semenanjung (Tanah Melayu), Sarawak dan Sabah.

“Ini, sama seperti Kesatuan Eropah yang mana semua anggotanya adalah negara-negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya menerusi satu kenyataan media sempena Hari Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata sejak bertahun-tahun, Sarawak dan Sabah telah diturunkan taraf sehingga menjadi hanya bertaraf negeri seperti dalam Persekutuan Malaysia sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1976.

“Tahun lepas telah ada usaha untuk pemulihan beberapa hak Sarawak dan Sabah dengan pindaan perlembagaan persekutuan untuk memulihkan (restore) Sarawak dan Sabah sebagai Negara-Negara Borneo.

“Bagaimanapun, setakat ini tidak ada kemajuan yang kita nampak selepas pindaan perlembagaan pada 14 Disember 2021.

“Kita sepatutnya menjadi negara yang merdeka dan berdaulat seperti yang diiktiraf dan dijamin di dalam Resolusi Perhimpunan Bandsa-Bangsa Bersatu (UNGAR) no 1514 dan 1541,” tegasnya.

Mengulas mengenai Hari Sarawak, beliau berkata Hari Kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai setiap tahun telah diwartakan sebagai hari cuti oleh Kerajaan Sarawak.

“Keadilan Sarawak berbangga berbangga menjadi sebahagian daripada perjuangan ke arah pengiktirafan Hari Sarawak seperti yang diraikan hari ini.

“Pada kesempatan Hari  Sarawak ini, kami dari Keadilan Sarawak mengucapkan selamat meraikan Hari Kemerdekaan Sarawak yang ke 59 kepada warga Sarawak.

“Semoga Sarawak akan terus maju sebagai wilayah yang berautonomi di dalam Malaysia seperti yang digagaskan oleh para pemimpin kita terdahulu,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru