Sunday, August 7, 2022

Mengapa kita gagal banteras rasuah? Ini jawapan Hadi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Mengapakah kita gagal membanteras rasuah di negara ini?

Jika ditanya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul hadi Awang,  perkara ini terjadi di sebalik hukuman yang paling keras di sesetengah negara sehinggakan dijatuhkan hukuman mati, namun penyakit rasuah masih gagal dihapuskan.

“Pada hari ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana undang-undang ciptaan manusia yang cuba melawan rasuah sehingga ke akar umbinya sudah menemui kegagalan?,’ katanya dalam satu kenyataan.

“Hal ini adalah disebabkan sifat undang-undang dan pendidikan pencegahannya yang tidak menyeluruh dan holistik,” jelasnya.

Bahkan, menurut beliau lagi, undang-undang tersebut tidak merangkumi segala aspek kejadian manusia dan matlamat mereka diciptakan, sehingga menyebabkan penyakit rasuah gagal diatasi sama sekali.

Kata Abdul Hadi, kini berlakunya kerakusan nafsu manusia terhadap harta, sehinggakan keadaan itu mengatasi soal kepentingan nyawa, diri, dan keluarga mereka sendiri.

“Islam menetapkan petunjuk yang benar dan sempurna daripada Allah SWT kepada manusia dalam semua urusan, termasuk dalam aspek pencarian harta dan bagaimana ia dibelanjakan,” jelasnya.

“Seseorang itu diwajibkan mengambil harta dengan cara yang baik dan halal. Di samping itu, cara penggunaannya pula memberikan manfaat dan membawa berkat (kebaikan) yang menyeluruh kepada jasad, roh dan akal, individu, keluarga, masyarakat dan negara, berwawasan dunia sehingga akhirat,” katanya.

“Pengambilan harta dan penggunaan harta secara haram akan merosakkan diri sendiri dan keluarga, malah juga kerajaan dan rakyat. Walaupun hasil rasuah itu menggemukkan badan dan memberikan keseronokan kepada jasadnya akibat terlalu bergembira kerana banyak duitnya, tetapi semua itu tidak bermanfaat dalam kehidupan dunia sehingga selepas meninggal dunia,” menurut beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru