Sunday, August 7, 2022

Jual ayam dalam bungkusan akhbar tarik perhatian

Secara Rawak

SIBU: Kreativiti unik dalam menjual ayam hidup yang dibungkus menggunakan surat akhbar berjaya menarik perhatian pengunjung untuk melihatnya dengan lebih dekat.

Selama lebih berpuluh tahun, tradisi menjual ayam hidup yang dibungkus rapi menggunakan surat khabar ini telah menjadi identiti di Sibu yang tidak dapat dilihat di mana-mana kawasan lain di Sarawak.

Bagi penulis sendiri, pengalaman melihat ayam yang dijual dalam keadaan dibungkus menggunakan surat akhbar itu adalah strategi perniagaan yang jarang dilihat, dan itu adalah antara perkara yang menarik perhatian pembeli.

Menurut penjual ayam bungkus, Karen Mina, 50, idea membalut ayam itu diwarisi sejak turun temurun bagi menjaga kebersihan keadaan persekitaran tempat jualan selain memberi kemudahan kepada pembeli.

“Pembungkusan ayam berkenaan dilakukan supaya najisnya tidak jatuh ke lantai.

“Kebiasaannya ia dipanggil ayam pencen dan boleh dijual antara RM23 dan tidak lebih RM30 seekor bergantung keadaan pasaran semasa,” katanya ketika ditemui media di gerai jualannya di Pasar Besar Sibu, hari ini.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang tersebut, Karen berkata dia telah menjalankan perniagaan tersebut sebelum Pasar Besar Sibu diwujudkan pada tahun 1996.

Katanya, dia mampu menjual lebih 100 ekor ayam hidup sebulan dan menyediakan sebanyak 36 ekor ayam hidup sehari untuk dijual di pasar tersebut.

“Apabila kami tidak dapat menghabiskan semua jualan ayam dalam sehari, kami akan membawa ayam-ayam tersebut balik dan melepaskan semula di kandang.

“Kemudian esok hari, kami akan menangkap mereka semula untuk diikat…memang penat
melakukan pekerjaan ini kerana perlu bangun awal pagi, tangkap ayam, ikat dan jual kepada pelanggan,” katanya sambil berseloroh.

Karen turut berharap agar tradisi jualan ayam bungkus ini dikekalkan agar tidak hilang ditelan zaman, malah dia turut mewarisi perniagaan keluarga berkenaan kepada anak-anaknya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru