Monday, August 8, 2022

Berakhirnya pemerintahan asing 122 tahun di Sarawak

Secara Rawak

SIBU: Sambutan Hari kemerdekaan Sarawak pada setiap 22 Julai seharusnya disanjungi kerana tarikh keramat ini pada 1963, menandakan berakhirnya 122 tahun pemerintahan asing dan bermulanya pemerintahan sendiri.

Dan menariknya tahun ini, Sibu diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Sarawak ke-59.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang, beliau berasa begitu teruja sebagaimana kebanyakan penduduk tempatan di sini.

“Kita harus meraikan sambutan itu bersama-sama supaya generasi akan datang dapat terus meraikan hari istimewa ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Kata-kata beliau itu sememangnya benar memandangkan Sarawak telah mengalami pelbagai perubahan dan pembangunan terutamanya selepas berakhirnya pemberontakan komunis berikutan penyerahan kalah Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) yang diketuai Ang Cho Teng serta menandatangani perjanjian damai pada 17 Okt 1990.

Christopher berkata kerajaan pemerintah kini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasar untuk membangunkan Sarawak sebagai sebuah negeri maju dengan purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM16,000 sebulan menjelang 2030.

Menurutnya bagi mencapai matlamat itu, semangat kekitaan harus disemai untuk memupuk keharmonian dan perpaduan serta melindungi kepentingan Sarawak.

Bagi Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Sammy Ngelambai pula, beliau berpendapat untuk membolehkan Sarawak berjaya sebagai sebuah negeri maju, negeri ini perlu melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkebolehan.

“Dengan itu, Sarawak telah mempunyai universiti sendiri. Universiti Teknologi Sarawak (UTS), yang terletak secara strategik di Sibu iaitu wilayah tengah Sarawak dan boleh diakses dari mana-mana bahagian di negeri ini,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru