Monday, August 8, 2022

Rahsia mencapai kejayaan…

Secara Rawak

Dalam hidup kadang-kadang kita tidak dapat menjangka kesudahannya. Kita dapat merancang, tetapi Tuhan yang menentukannya. Ketika masih kanak-kanak atau remaja dan masih di bangku sekolah, kita mungkin punya impian dan cita-cita tertentu, tetapi akhirnya impian itu tidak menjadi kenyataan.

Saya pernah menjadi guru selepas mengikuti kursus Kemanusiaan dengan Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Selepas itu, dipindahkan menjadi nazir sekolah, sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengetua dan timbalan penolong pengarah pendidikan Sarawak.

Bertugas di ibu pejabat pendidikan bukan impian dan minat saya kerana saya lebih suka berada di dalam bilik darjah mengajar pelajar sekolah menengah.

Disebabkan tidak minat dan bosan ditempatkan di bahagian kurikulum di ibu pejabat pendidikan Sarawak, saya pun meletak jawatan 24 jam. Sesuatu yang jarang dilakukan pegawai pendidikan ketika itu, apatah lagi jawatan itu dianggap sudah kanan. Tidak lama kemudian saya ditawarkan bertugas di sebuah firma pembinaan yang terbabit dalam pembinaan jalan raya dan sebagainya.

Anda tahu, itu bukan kemahiran dan minat saya, maka apabila terdapat tawaran untuk bertugas sebagai ketua editor di sebuah akhbar tempatan pada 1993, saya pun tidak melepaskan peluang itu. Namun, pergolakan politik membabitkan sebuah parti, menyaksikan saya terpelanting dari jawatan itu pada 1998.

Pada waktu yang sama, pergolakan politik juga berlaku di peringkat nasional apabila perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum pemecatan itu berlaku, tiga orang editor akhbar dan stesen TV telah dipecat daripada jawatan mereka. Selepas itu, saya pun melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebaik sesi viva tamat di UKM, saya terus ditawarkan jawatan untuk mengajar sastera di universiti itu.

Saya juga memohon menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Tetapi saya memilih bertugas di Unimas – tempat yang saya anggap paling sesuai untuk kepakaran, pengalaman dan minat saya.

Di situlah saya berkhidmat selama hampir 20 tahun, sehingga dinaikkan pangkat menjadi profesor madya, selain dikenali sebagai penganalisis politik. Di Unimas saya mengajar banyak kursus, termasuk komunikasi politik dan media dan politik.

Saya bersara dari Unimas pada 4 Ogos 2019. Perjalanan saya daripada seorang budak kampung hingga kini adalah berliku-liku dan berwarna-warni.

Terus terang, saya tidak sangka saya dapat sampai ke tahap sekarang dengan terbaharu menerima Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas.

TAHNIAH… Dr Jeniri menerima Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas.

Menoleh ke belakang, yang penting, kita perlu lakukan sebaik mungkin tugas, tanggungjawab dan amanah yang diletakkan di atas bahu kita. Kalau hendak berjaya dalam apa-apa bidang pun, termasuk dalam dunia pekerjaan, kita  bukan saja perlu mencontohi mereka yang terbaik dalam bidang yang kita kerjakan.

Selain sentiasa cuba memperbaik diri, kita juga perlu berusaha untuk mengatasi kelemahan kita, kerana kita menjadi hebat dan kuat jika kita tahu akan kelemahan diri kita. Dan, kita jadi lebih bijaksana dan arif jika kita belajar daripada kesilapan.

Elakkan daripada mengulangi kesilapan yang sama; sebaliknya terus berusaha untuk mempertajam kemahiran, memperluas pengalaman dan ilmu serta rangkaian persahabatan.

Hari-hari hadapan ialah hari untuk belajar dan terus meningkatkan nilai diri, kerana setiap hari yang berlalu, bermakna kita hilang sebahagian daripada diri kita.

Waktu, kemahiran, pengetahuan dan kemahiran ialah modal yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menambah nilai diri dan mengukuhkan jenama kita.

Ingat, tiada jalan singkat dalam hidup dan tiada jalan pintas ke arah kejayaan dalam kerjaya. Tiada yang datang bergolek dalam hidup ini. Segala-galanya perlu dilakukan dan diusahakan.

Ya, kalau hendak mendapatkan sagu, anda perlu memecahkan ruyungnya. Kita perlu ingat akan pesanan orang tua. Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Bagi mereka yang gigih, bertanggungjawab, beretika, komited dan menjalankan tugas dengan cekap, angkasa bukan sempadan atau batasannya.

Cabaran  dan ujian pasti ada,  tetapi ia tidak harus dianggap sebagai rintangan dalam hidup dan kerjaya.

Sebaliknya cabaran dan ujianlah yang memungkinkan kerjaya dan kehidupan menjadi lebih menarik dan berwarna-warni, manakala mengatasinya dengan tekad kental menjadikan hidup ini lebih bermakna. Dalam hidup memang ada jatuh bangunnya. Ya, anda berdepan banyak kemenangan dan kejayaan, tetapi anda juga pasti berdepan banyak kegagalan dan ketewasan.

Segera bangkit daripada kekalahan dan kejatuhan. Meminjam aforisme daripada Nelson Mandela: “The greatest glory in living lies not in never falling, but in rising every time we fall.”

Jangan terus terperangkap dengan kekecewaan dan kemurungan.  Namun jangan ditewaskan oleh kekalahan. Justeru, sentiasa  menguji sempadan kemungkinan keupayaan, kreativiti dan kebolehan bagi  menguji sempadan pencapaian.

Hanya satu rahsia untuk mencapai sesuatu yang hebat dalam hidup dan kerjaya: Minati dengan penuh ghairah apa-apa yang anda lakukan.

Mereka yang berjaya dan hebat, melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh mereka yang gagal atau tewas. Sentiasa berusaha untuk mencuba dan melakukan yang terbaik, tidak kira anda wartawan, guru, pelajar, doktor, pemimpin politik atau usahawan. Hari esok dan persada kejayaan dalam taklukan dan dakapan anda jika anda mahu.

Hanya satu batasan kepada penaklukan hari esok, ialah kesangsian dan keraguan kita tentang hari ini dan masa depan.

Percayalah kepada diri sendiri. Orang lain boleh sahaja ragu akan keupayaan dan potensi anda, tetapi anda jangan ragu dengan diri sendiri. Ini ialah racun dan anai-anai yang akan membinasakan anda.

Tidak ada salah anda punya impian besar, dan ya, bersedia untuk gagal. Setidak-tidaknya anda mencuba, kerana hakikatnya, tiada yang tidak mungkin kecuali ketidakmungkinan.

Jangan hanya berpuas hati dengan hanya menjadi seorang biasa dengan melakukan sesuatu yang biasa. Anda harus melakukan sesuatu melangkaui kebiasaan untuk mencapai keluarbiasaan.

Rahsia kejayaan ialah melakukan sesuatu yang biasa dengan cara luar biasa untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Sesungguhnya, sikap positiflah yang akan membawa kelainan dan kejayaan.

Anda bukan dilahirkan hebat atau dilahirkan menang atau kalah. Andalah yang menentukan sama anda akan berjaya atau hebat atau sekadar menjadi individu biasa, tanpa meninggalkan sebarang jejak dalam bidang anda dan kehidupan ini.

Mereka yang hebat punya visi dan misi yang jelas, dan mereka berusaha untuk memenuhinya dengan iltizam. Ingat, kepintaran tanpa impian dan sasaran umpama burung tanpa sayap. Anda tidak akan ke mana-mana.

Tanya diri anda sendiri. Di manakah anda berada 10 tahun, 20 tahun, 30 tahun atau 40 tahun dari sekarang?  Cara terbaik untuk meramalkan masa depan anda tentu dengan menciptanya, dan berusaha keras untuk mencapai ciptaan itu.

Kita tidak dapat mengubah masa silam, namun tentu masih ada peluang untuk mengubah masa depan. Ingat, di mana anda berada pada masa depan banyak bergantung pada apa-apa yang anda lakukan pada hari ini. Mereka yang mahu masa depan yang gemilang, lakukanlah sesuatu  mulai sekarang. Jangan berserah kepada nasib.

Jadi, laburkan masa anda untuk masa depan anda dengan terus belajar, membaca, meningkatkan kemahiran dan memperluas horizon pemikiran.

Jadilah manusia yang belajar sepanjang hayat dengan berpegang kepada falsafah, hiduplah seolah-olah anda akan mati esok, dan belajarlah seolah-olah anda akan hidup untuk selama-lamanya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru