Sunday, August 7, 2022

Teroka Hutan Jemoreng, kaji potensi biologi, ekopelancongan

Secara Rawak

MATU: Ekpedisi Saintifik Hutan Jemoreng diyakini mampu menemukan khazanah alam sekitar yang penuh dengan kepelbagaian sumber biologi dan nilai estetik tinggi termasuk flora dan fauna yang mungkin tidak terdapat di tempat lain.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata ia selari dengan program kelestarian hutan yang menjadi dasar baharu kerajaan Sarawak dalam memelihara sumber aslinya.

Eksplorasi bersama barisan penyelidik dari Jabatan Hutan Sarawak berama agensi berkaitan serta komuniti setempat dilihat sebagai jalinan kerjasama yang mantap bagi memperkasakan usaha pemeliharaan.

Menurutnya hutan Jemoreng sinonim dengan pokok ketiau paya atau lebih dikenali sebagai pokok skiew oleh masyarakat setempat.

Skiew atau nama saintifik ya Madhuca Montleyana banyak terdapat di wilayah tengah Sarawak khususnya di Matu.

Dr Juanda bersama Hamden dan Ahmad Johnie ketika merasmikan Ekspedisi Saintifik Jemoreng di Matu.

Sebagai sumber pendapatan dan sosioekonomi komuniti setempat, pokok skiew diambil untuk dijadikan produk bukan kayu.

“Antara hasilnya ialah minyak skiew yang dihasilkan daripada buah skiew dan dijual.

“Nilainya boleh mencecah sehingga RM90 sekilogram untuk buah sahaja dan mampu menjana jualan minyak sehingga RM1,500,” katanya.

Justeru kesinambungan program kelestarian alam sekitar khususnya sumber hutan perlu diperluaskan menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) spesifik.

Kata Juanda harga minyak tersebut boleh mencecah RM500 sebotol dengan isipadu 650 mililiter.

Dalam menjayakan aspirasi kerajaan katanya terutama hutan mampan, kawasan hutan ketiau paya di Jemoreng wajar diwartakan sebagai kawasan terlindung atau hutan simpan meskipun dalam skala kecil.

Beliau turut meminta agar Jabatan Hutan Sarawak meningkatkan keluasan hutan ketiau bagi memastikan spesies tumbuhan itu tidak pupus dan terpelihara.

“Jadi kita harap benar pihak jabatan hutan untuk memastikan hutan skiew ini dapat ditambah agar taraf kehidupan penduduk dapat meningkat sumber pendapatan lebih baik.

“Jika di Perlis ada Harum Manis, dalam satu musim sahaja petani boleh menjana pendapatan yang boleh menampung perbelanjaan untuk tempoh satu tahun.

“Bayangkan jika ia adalah skiew, maka komuniti di Jemoreng juga mampu menjana pendapatan untuk tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ekspedisi Saintifik Jemoreng di Matu pada Sabtu.

Sementara itu Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohamad berkata ekspedisi itu penting dalam mengenal pasti flora dan fauna yang terdapat di hutan berkenaan.

“Ia dijalankan untuk mengkaji dan mendokumentasikan kepelbagaian biologi di kawasan ini di samping menilai potensi eko-pelancongannya.

“Hal in bagi memastikan sumber asli Hutan Jemoreng dapat dipelihara dan diurus secara mampan.

Ekspedisi saintifik in turut memberi fokus kepada spesies Madhuca motleyana yang mana merupakan antara sumber pendapatan utama penduduk Kampung Jemoreng Matu kerana biji buahnya diproses untuk dijadikan minyak,” katanya.

Hasil daripada kajian serta penilaian yang dijalankan melalui Ekspedisi Saintifik Jemoreng ini diharapkan dapat membantu Kerajaan Negeri Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak dalam merangka perancangan bagi membangunkan Kampung Jemoreng sebagai kawasan berpotensi dalam ekopelancongan, sekaligus membuka peluang dalam memperkembangkan, mempromosi dan memasarkan Jemoreng bagi meningkatkan daya saing penduduk Kampung Jemoreng dalam pembangunan ekonomi.

Kata Hamden ekspedisi itu juga melibatkan lapan skop kajian termasuk penilaian biojisim tanah, kualiti air, makrofungi, hidupan liar dan sosioekonomi.

Menyentuh soal industri hiliran minyak skiew Hamden berkata pihaknya akan mengenal pasti mekanisme baharu untuk menghasilkan minyak tersebut dalam kuantiti yang banyak sekali gus dikomersilkan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru