Sunday, August 7, 2022

PKS wakili 98.5 peratus komuniti perniagaan Malaysia

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mewakili 98.5 peratus komuniti perniagaan secara keseluruhan di Malaysia dan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, komuniti tersebut juga memainkan peranan penting mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus menambah pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara termasuk negeri.

“Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktirafkan peranan PKS dengan mengumumkan 27 Jun sebagai Hari Antarabangsa untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana yang disambut bermula 2017.

“Ini selaras situasi di seluruh dunia yang mana lebih daripada 95 peratus perniagaan melibatkan semua ekonomi di seluruh dunia merupakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh sempena program Jum Regista Bisnes Samarahan di Dewan IAT, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan, pada Rabu.

Dalam pada itu beliau menambah, melalui BKSS 2.0 juga Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM80.7 juta untuk bantuan subsidi kadar faedah selama tiga tahun setengah kepada PKS yang berjaya melalui skim Tabung Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF).

“Sehingga kini, seramai 3,345 usahawan menerima manfaat subsidi kadar faedah bernilai RM77 juta.  “Kerajaan Sarawak merupakan satusatunya kerajaan di Malaysia yang menawarkan subsidi kadar faedah ini,” ujarnya.

Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, Kerajaan Sarawak telah memberi peruntukan lebih daripada RM5.7 bilion di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0 hingga 8.0 untuk membantu rakyat yang terjejas termasuk PKS dari segi kewangan dan bukan kewangan.

Menurutnya, melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred) terdapat pelbagai bantuan yang ditawarkan melalui pelbagai skim. “Antaranya Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) setakat ini, kita telah berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM49.5 juta melibatkan 1,689 usahawan dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) berjaya menyalurkan bantuan berjumlah RM31.08 juta melibatkan seramai 417 usahawan,” tegasnya.

Beliau memaklumkan bantuan di bawah kementeriannya termasuklah Program Graduan ke Arah Keusahawanan (Gerak) iaitu bantuan dalam bentuk geran kepada para graduan yang berminat melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Setakat ini, seramai 344 graduan dengan nilai RM3.16 juta telah menikmati kemudahan ini.

“Ia juga melibatkan Usahawan Teknikal dan Vokasional (Ustev) iaitu bantuan berbentuk geran untuk para lepasan sekolah vokasional dan teknikal. “Setakat ini, 513 usahawan telah mendapat manfaat dengan nilai RM4.64 juta.

“Dan di bawah program Go Digital pula adalah bantuan geran bagi usahawan yang ingin terlibat dalam perniagaan secara online atau e-commerce. Setakat ini, 100 usahawan mendapat bantuan dengan nilai RM1 juta,” jelasnya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru