Sunday, August 7, 2022

Indonesia minta bantuan Sarawak membangunkan Nusantara

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia untuk membantu Kerajaan Indonesia membina ibu negara baharunya, Nusantara di Kalimantan Timur, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata sebelum ini beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong bahawa Kerajaan Indonesia meminta bantuan dari Sarawak membangunkan Nusantara.

“Perdana Menteri Singapura bertanya kepada saya tentang Nusantara. Adakah kita (Sarawak) akan membantu mereka, saya menjawab ya kerana Kerajaan Indonesia meminta kita untuk membantu ibu negara itu yang hanya kira-kira 400km dari Kapit dan 500km dari Kuching.  “Ia sudah dekat, malah rakyat Sarawak mahupun Singapura boleh terbang ke sana,” katanya.

Sehubungan itu kata Abang Johari, dengan ikatan persahabatan kukuh antara Sarawak dengan Singapura, kedua-dua negeri dan negara ini boleh bekerjasama untuk membantu rakan mereka di Nusantara.

“Terdapat banyak peluang di Kalimantan, terutamanya di kawasan berhampiran Nusantara, yang berkemungkinan menarik kira-kira 30 juta orang dari Jakarta dan kawasan metropolitannya.

“Justeru, Sarawak dan Singapura boleh bekerjasama menghulurkan bantuan kepada Indonesia dalam membina masa depan ibu negara mereka,” katanya.  Abang Johari juga mengalu-alukan sesiapa yang ingin bekerjasama dengan negeri ini dengan mengambil kira Sarawak juga sedang menuju ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi untuk menjadi sebuah negeri maju yang berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Delegasi Perniagaan Singapura di sini. Sementara itu, Abang Johari turut menekankan kepentingan kepercayaan Sarawak dan Singapura dalam menjalankan perniagaan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Sudah tentu, perniagaan mesti berdasarkan kepercayaan.  Persekutuan Perniagaan Singapura bersama-sama Singapore Enterprise dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) mesti mempercayai antara satu sama lain kerana sebaik sahaja kepercayaan itu diperkukuh, apa yang selebihnya akan menjadi milik kita,” katanya lagi.

Katanya, Sarawak dan Singapura mempunyai banyak persamaan yang boleh dimanfaatkan untuk memacu pembangunan ekonomi negeri dan negara masing-masing. Antaranya pertanian, perkhidmatan dan teknologi tinggi sebagai sebuah sektor yang membolehkan Singapura dan Sarawak bekerjasama.

Beliau berkata, terdapat lebih ramai rakyat Singapura membeli rumah di Sarawak baru-baru ini di bawah Program My Second Home Malaysia. “Anda tahu rumah kami murah. Hanya mengambil masa sejam untuk sampai ke sini dan sebenarnya (masa untuk ke Sarawak) lebih singkat berbanding Johor yang memerlukan beratur panjang untuk melalui pusat pemeriksaan imigresen.

“Apabila anda ke Sarawak, bukan sahaja tempoh perjalanan anda ke Sarawak akan menjadi lebih singkat, anda juga boleh tinggal di rumah anda sendiri dan menikmati mi kolok yang lazat semasa berada di Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru