Monday, August 8, 2022

Padah curi empat cermin perhiasan milik kakak

Secara Rawak

KUCHING: Padah curi empat unit cermin perhiasan milik kakak kandung dan menjual dengan harga RM10 sekeping, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Abdul, 30, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Syarifah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri empat unit cermin hiasan milik kakaknya berusia 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Baku Ulu, kira-kira jam 6.55 pagi, 6 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, pengadu merupakan kakak tertuduh telah dihubungi oleh adik perempuan mereka bahawa tertuduh telah mencuri barang perhiasan (cermin) miliknya.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencuri barang milik pengadu iaitu empat unit cermin hiasan semasa pengadu keluar bekerja.

Selain itu, tertuduh juga telah menjual barang-barang tersebut dengan harga RM10 seunit kepada seorang lelaki.

Difahamkan, tertuduh dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru