Monday, August 8, 2022

Sarawak akan ada wakil dalam LHDN

Secara Rawak

KUCHING: Selepas membuat permohonan agar wakil negeri ini turut berada dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akhirnya Sarawak telah menghantar nama wakilnya selaras dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, maklum balas yang diterima daripada Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Alhamdulillah ada maklum balas Perkara 112 D, Perlembagaan Persekutuan, apabila ada wakil, kita akan tahu pendapatan Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Di bawah Artikel 112D, Sarawak dan Sabah layak mendapat peruntukan geran khas.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan Sarawak menuntut beberapa perkara yang terhakis dalam MA63.

Katanya, geran khas itu perlu mengikut formula yang munasabah berdasarkan pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan, dan bukannya jumlah tetap.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, formula pendapatan yang harus ‘diterima’ Sarawak sudah ada dalam MA63 dan hanya perlu dilaksanakan seperti dipersetujui tanpa memerlukan perjanjian baharu.

“Apabila kita mempunyai wakil dalam LHDN, kita akan tahu jumlah pendapatan negara. Daripada situ, kita akan tahu jumlah yang perlu diberi kepada kita,” jelasnya.

“Bagi rundingan untuk mendapatkan pemberian khas berkenaan, kita mahukan situasi menang – menang. Kalau berdasarkan formula tertentu, pasti lebih mudah,” tegasnya.

Pada persidangan DUN Mei lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata adalah penting bagi Sarawak untuk memiliki wakil di dalam badan berkanun itu bagi memastikan Kerajaan Sarawak mengetahui kedudukan kewangan negara.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tuntutan itu dapat diselesaikan dengan jayanya.

“Sarawak perlu memiliki wakil di dalam LHDN untuk membantu usaha kerajaan Sarawak dalam perbincangan dan rundingan berkenaan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Baki (GPS-Satok).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru