Monday, August 8, 2022

Penganalisis politik pilih KJ atau Anwar pimpin negara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Malaysia  perlu mempunyai pemimpin yang hebat jika mahu negara ini maju, kata penganalisis politik Profesor Datuk Mohammad Agus Yusoff.

Pensyarah sains politik di UKM itu berkata, sekiranya beliau ditanya siapa pilihan terbaik untuk mengendalikan negara, jika daripada Umno saya akan menyebut Khairy Jamaluddin.

“Dia berani, tegas dengan pandangannya, artikulatif, cerdik, dan berwibawa untuk mewakili negara di persada antarabangsa,” katanya dalam satu catatan di Facebook bersempena hari persaraannya sebagai pensyarah hari ini.

Katanya, jika secara keseluruhannya, tanpa mengambil kira parti mana yang menang nanti, pilihan pertama beliau ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam tulisan sebelum ini, saya telah memberikan empat alasan kenapa saya memilihnya,” katanya merujuk kepada Presiden PKR.

“Kali ini, tanpa mengulanginya, saya memilih Anwar, kerana dia berpengalaman, bernyawa dengan denyut nadi rakyat, dan mempunyai jiwa reformasi. Saya yakin beliau boleh membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan berintegriti sehingga Malaysia kembali mendapat perhatian masyarakat dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Agus  menzahirkan rasa sedih untuk meninggalkan mahasiswanya.

“Merekalah sumber kekuatan dan semangat saya untuk berkarya. Dalam setiap kuliah, saya sering menyampaikan pesan-pesan saya” ujarnya.

“Bagi mahasiswa sarjana falsafah (PhD) pula, dalam setiap pertemuan, saya yakinkan mereka, saya tidak akan tinggalkan mereka. Mereka bukan setakat harta dan kasih saya, tetapi harta negara. Saya berdoa agar mereka terus maju,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru