Sunday, August 7, 2022

Bagaimana kalau semua subsidi dihapuskan?

Secara Rawak

Ketika zaman kanak-kanak dan remaja di kampung dahulu, saya sering mendengar orang tua menggunakan perkataan subsidi. Ketika itu subsidi merujuk kepada baja yang diterima oleh para petani untuk kegunaan di kebun mereka. Sejak itu, perkataan itu mulai melekat dalam fikiran saya. Ketika ini, rakyat mendapat pelbagai bentuk subsidi, termasuk subsidi membaiki rumah dan rumah panjang, bayaran bil elektrik dan air, selain Bantuan Keluarga Malaysia.

Hakikatnya, rakyat di negara ini tidak terlepas daripada subsidi. Mereka menerima subsidi secara langsung atau tidak langsung  dalam pelbagai bentuk daripada kerajaan. Yang banyak disubsidikan di negara ini termasuk sektor persekolahan dan kesihatan. Jika tidak ada subsidi, kita tentu terpaksa membayar tinggi untuk yuran sekolah dan universiti atau apabila mendapat perkhidmatan kesihatan di hospital.

Dalam keadaan kos  sara hidup semakin mencekik ketika ini, sebarang langkah untuk mengurangkan bebanan pasti amat dihargai. Subsidi kerajaan bertujuan menampung kos sara hidup rakyat, mengurangkan bebanan ditanggung mereka. Semakin tinggi kadar dan jumlah subsidi, semakin perlulah kerajaan  mencari jalan untuk menambahkan hasilnya.

Kerajaan dijangka membelanjakan hampir RM80 billion untuk pelbagai bentuk subsidi di negara ini setakat ini untuk tahun ini.  Ini adalah 9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini boleh dikatakan terlampau tinggi sedangkan pakar ekonomi menyatakan jumlah optimum sepatutnya 2 peratus daripada KDNK.

Sampai bilakah bebanan ini perlu ditanggung oleh kerajaan?  Tentu jumlah subsidi akan meningkat pada masa depan. 

Apakah subsidi? Apakah tujuannya? Subsidi ialah bantuan kewangan atau kebendaan dihulurkan kerajaan untuk meringankan beban  rakyat. Tujuannya bagi memastikan harga barangan dan komoditi dalam tingkat harga yang mampu dibeli oleh rakyat. Ya, subsidi baik untuk politik, buruk untuk ekonomi. 

Ini bagi memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup mereka terpelihara, dan seterusnya bagi menjamin  kelangsungan hidup dalam jangka panjang. Subsidi bertujuan ‘menyelamatkan’ rakyat daripada terpaksa menanggung bebanan harga atau kos yang terlalu tinggi. 

Banyak negara  memperkenalkan subsidi meliputi pelbagai sektor, termasuk kesihatan dan pendidikan seperti di Kanada, Jerman, Belanda atau United Kingdom.  Subsidi dalam sektor itu bertujuan supaya rakyatnya, malah permastautin di negara terbabit mendapat perkhidmatan berkenaan. 

Mengapakah sehingga kini, kerajaan tidak menghapuskan subsidi? Seyogia diingatkan, kerajaan sanggup menanggung subsidi dalam jumlah besar bagi memastikan harga barang stabil, dan kadar inflasi terkawal. Ia memilih jalan demikian demi memastikan rakyat tidak teruk terbeban oleh kos sara hidup yang melambung tinggi, seterusnya dapat menjamin kesejahteraan dan kebajikan hidup mereka terpelihara. Tanpa subsidi, kemungkinan besar kadar inflasi juga meningkat. 

Keseluruhan subsidi tahunan bagi 2018 ia lah RM8.3 bilion, 2019 (RM7.3 bilion), 2020 (RM2.7 bilion), 2021 (RM16.5 bilion) dan keperluan bagi 2022 (RM51 bilion). Unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang setakat ini berjumlah RM77.3 bilion bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh kerajaan. Bayangkan jumlahnya kalau diambil kira bantuan dalam bentuk lain, termasuk ketika negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan? 

Ini satu jumlah yang cukup besar yang perlu ditanggung oleh kerajaan demi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat. Bayangkan harga barangan berkenaan jika tidak terdapat sebarang subsidi? Tentu harganya akan meningkat, dan sekali gus akan membebankan rakyat kebanyakan yang sedia terhimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. 

Rakyat perlu faham  akan kesan jangka panjangnya kepada negara jika jumlah subsidi sentiasa tinggi dan terus meningkat.  Subsidi ini seperti gula bagi mereka yang menghidap penyakit diabetes. 

Subsidi akan memberi kesan kepada defisit fiskal negara dan seterusnya memberi tekanan kepada perbelanjaan negara, terutamanya untuk tujuan pembangunan. Memandangkan subsidi adalah sebahagian daripada perbelanjaan mengurus, ia perlu dibiayai sama ada melalui kutipan hasil yang lebih tinggi atau pengurangan dalam komponen perbelanjaan lain.

Fenomena kenaikan sara hidup dan inflasi bukan hanya berlaku di negara ini. Akibat serangan pandemik langkah penguncian harga komidi dan kadar inflasi kian meningkat. Ini berlaku ekoran gangguan kepada rantaian bekalan global dan konflik Ukraine-Rusia. 

Apakah mekanisme terbaik bagi memastikan keberkesanannya? Bagi  memastikan keberkesanan subsidi, satu daripada saranan adalah supaya diperkenalkan subsidi bersasar. Adakah pemberian kad khas misalnya untuk mendapatkan barang keperluan di pasar raya atau kedai runcit jalan penyelesaian terbaik? Hakikatnya, sistem ini juga ada kelemahannya. 

Subsidi bersasarna mungkin jawapannya. Subsidi bersasar dapat mengurangkan tekanan fiskal kepada kerajaan, selain meningkatkan kecekapan ekonomi. Kerajaan perlu memastikan wang untuk subsidi disalurkan kepada rakyat dengan cara yang lebih tepat dan berkesan. Pemberian subsidi itu mengambil kira kepentingan golongan tertentu selain memastikan pelaksanaan berjalan lancar dengan kaedah pemantauan yang lebih cekap.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penghapusan subsidi untuk penternak ayam dan harga siling untuk ayam dan telur, tetapi  kemudian membatalkan keputusannya dan mengekalkan harga siling. 

Kerajaan cuma menghapuskan subsidi minyak masak dalam botol dua kilogram (kg), 3kg dan 5kg sahaja, manakala subsidi untuk minyak masak paket kekal.

Rakyat kita yang sudah terbiasa dengan subsidi, ketika subsidi hendak ditarik balik, turut melenting dan meroyan. Menghapuskan subsidi bukan jalan penyelesaian terbaik ketika ini. Hal ini adalah kerana tindakan  memansuhkan subsidi ayam, telur atau minyak masak  hanya akan menyebabkan kadar inflasi melonjak. Kesannya berantai. 

Harus diingat, firma penyelidik melaporkan, dalam tempoh empat bulan tahun ini, harga makanan meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun. Jika harga makanan meningkat lebih tinggi daripada paras semasa kemungkinan besar tekanan inflasi keseluruhan akan melebihi 3.0 peratus.

Luahan hati dan kekecewaan mereka dapat diikuti sebelum ini apabila terdapat ura-ura berkenaan. Ada yang menggunakan kata-kata kesat dan melemparkan sumpah seranah terhadap kerajaan. Ada rakyat yang tidak faham akan  kesan  negatif subsidi  kepada negara pada jangka panjang. 

Pemberian subsidi yang besar berpotensi memberi impak dan tekanan kepada kewangan negara.  Kita perlu faham subsidi yang berpanjangan akan mendatangkan  risiko kepada kewangan  negara sehingga perbelanjaan untuk keperluan lebih penting terpaksa dikurangkan pada masa depan  termasuk bekalan dan perkhidmatan kerajaan, geran atau emolumen. 

Jumlah subsidi yang terlalu tinggi juga boleh menjejaskan penetapan sasaran defisit fiskal kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada enam peratus untuk tahun ini.  

Pernah dilaporkan sebelum ini bahawa jika rasionalisasi subsidi kepada beberapa komponen subsidi iaitu bahan api, gas dan elektrik, tol, bahan makanan, pertanian dan nelayan, pendidikan, kesihatan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun boleh menjimatkan sehingga RM103 bilion setahun. Ini satu jumlah yang cukup besar. 

Semua penjimatan itu boleh disalurkan untuk memantap serta meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang termasuk dalam bidang pengangkutan awam, pendidikan dan kesihatan.

Justeru, kerajaan perlu memperkenalkan segera kaedah dan langkah baharu yang lebih pragmatik bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan subsidi yang  semakin tinggi.  

Langkah merasionalisasi subsidi  dan menyusun semula skim subsidi adalah penting dari perspektif ekonomi. Negara perlu mempunyai strategi menguruskan subsidi dengan baik.  Kajian terhadap penghapusan subsidi secara berperingkat-peringkat wajar dilakukan pada masa yang sesuai untuk sesetengah bahan makanan dan perkhidmatan  demi menyelamatkan negara daripada menanggung defisit fiskal yang membebankan. 

Kita tentu tidak mahu subsidi bagai pemberian gula kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes. Kesan jangka panjang kepada negara dan generasi masa depan perlu dipertimbangkan secara serius.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru