Thursday, August 18, 2022

Perjanjian Malaysia baharu: Tak beri kesan kepada Sarawak

Secara Rawak

Hasidah menjawab soalan daripada pemberita ketika ditemui di Tebingan Kuching, hari ini.KUCHING: Kerajaan Sarawak menghormati keputusan Kerajaan Sabah sekiranya negeri itu menerima cadangan Barisan Nasional (BN) supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, bagaimanapun sebarang keputusan itu nanti tidak akan memberi kesan kepada Sarawak.

“Sarawak telah memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak zaman Allahyarham Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) sehingga Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) sekarang.

“Justeru, apa sahaja keputusan Kerajaan Sabah ia terpulang kepada mereka namun, keputusan itu tidak akan memberi kesan kepada Sarawak.

“Kita akan teruskan perjuangan menuntut hak mengikut arahan Premier,” katanya ketika ditemui media selepas mewakili Premier Sarawak menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebersihan Bandaraya Kuching di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Hasidah berkata demikian bagi mengulas cadangan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu baru-baru ini.

Berhubung permohonan Sarawak dalam menuntut MA63, beliau berkata kesemua prosedur tuntutan masih dalam proses perbincangan setakat ini.

Sementara itu jelas beliau lagi, Sarawak juga sedang meminta supaya mesyuarat untuk membincangkan isu berkaitan MA63 bersama Kerajaan Persekutuan disegerakan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu bagi merealisasikan hak dan tuntutan dalam MA63.

Beliau berkata, perjanjian baharu diperlukan dengan semangat dan konteks baharu untuk mengembalikan hak dan kepentingan Sabah.

“Pada waktu sama, ia (Perjanjian Malaysia 1963 baharu) akan menguatkan Persekutuan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN Sabah di Sabah, semalam (2 Julai).

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru