Thursday, August 18, 2022

Najib bidas Muhyiddin, minta kerajaan jangan layan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak membidas Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan bekas perdana menteri itu tersilap keutamaan ketika rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Menurut beliau, Muhyiddin dalam keadaan terdesak apabila banyak ahli Parlimen Bersatu meninggalkan parti menjelang PRU15 dan beliau menjadikan perkara ini sebagai “gula-gula” untuk membendungnya.

“Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi,” kata Ahli Parlimen Pekan itu melalui satu hantaran di Facebooknya.

Ujarnya, pengumuman Muhyiddin itu semalam bahawa beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membincangkan pelbagai jawatan dalam Jemaah Menteri dan kerajaan adalah sangat tidak wajar.

“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik timbalan perdana menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?,” katanya melalui satu hantaran.

Sedangkan, tegas beliau PRU-15 semakin dekat. 

“Paling lama pun kurang setahun lagi,” kata ahli parlimen Pekan itu lagi.

Semalam, Muhyiddin berkata, beliau bertemu Ismail beberapa hari lepas untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan timbalan perdana menteri yang menurutnya berkait dengan perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan perdana menteri.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru