Thursday, August 18, 2022

Majoriti golongan muda belum matang dalam politik

Secara Rawak

KUCHING:  Golongan Undi18 perlu mengambil masa untuk belajar bagaimana politik berfungsi kerana majoriti mereka masih belum matang sepenuhnya dari segi politik, kata Ketua Pemuda PBB Miro Simuh.

“Pengundi pada usia 18 tahun belum matang sepenuhnya dari segi politik. Ya ada yang sudah matang tetapi majoritinya, tidak. Mereka mengambil masa untuk belajar bagaimana politik berfungsi,” kata Adun Serembu itu.

Miro merupakan ketua pemuda pertama daripada kalangan masyarakat Bidayuh sepanjang kewujudan PBB yang ditubuhkan pada 1973.

Sebelum ini, parti utama gPS itu menyaksikan kalangan pemimpin Melayu/Melanau dan Iban dilantik ke jawatan itu.

Bagi beliau, dari segi pendedahan politik kepada golongan Undi18, yang paling penting adalah pendedahan melalui mata pelajaran Sejarah dengan memberi pendedahan berkaitan politik kepada anak muda terbabit.

“Bukan mudah untuk menjadi ahli politik, tetapi hanya mendedahkan mereka kepada isu atau perkara berkaitan politik. Politik melibatkan sosial, ekonomi dan macam-macam lagi,” jelasnya.

“Jadi, itulah perkara yang perlu kita jelaskan kepada golongan muda walaupun mereka memerlukan kematangan untuk membuat keputusan dalam soal politik,”  katanya.

Jelasnya, antara langkah yang dapat diambil untuk meningkatkan celik politik dalam kalangan golongan muda adalah dengan mendapatkan agensi kerajaan dan suruhanjaya pilihan raya untuk mendidik mereka tentang pengundian.

“Parti-parti politik boleh melakukannya, tetapi rakyat akan berpandangan lain dengan mendakwa kita lakukan untuk tujuan politik,” tegasnya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru