Thursday, August 18, 2022

Karnival Gawai Tematu teladan perpaduan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Penganjuran Karnival Gawai Tematu 2022 di Dewan Serbaguna Tematu, Bau, jelas membuktikan masyarakat di sini mempunyai kelas tersendiri dalam memastikan keharmonian pelbagai kaum dan etnik kekal tidak ditelan zaman.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Hui Kian berkata, program dua hari berjaya menunjukkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbeza bangsa dan agama dengan bersatu hati untuk menjayakan program selepas dua tahun diadakan semula akibat pandemik Covid-19.

“Kerja keras anda semua membuktikan masyarakat di sini mempunyai semangat perpaduan tinggi berbanding di negara yang lain biarpun program ini baru diadakan semula selepas dua tahun lalu.

“Program ini adalah penting kerana ia mengajak semua masyarakat untuk turut serta dan kita datang dengan pelbagai latar belakang untuk bersatu-padu sekaligus menunjukkan perpaduan terbaik kepada semua.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada hari penutupan Karnival Gawai Tematu 2022 dan Bitanding Dayung Gawea Tematu 2022, semalam.

Justeru katanya, keharmonian di Sarawak adalah tanggungjawab bersama selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam memastikan Sarawak menjadi negeri maju pada tahun 2030.

“Kita mahu menjadi wakil dalam membentuk Sarawak bukan sahaja sebagai negeri digital, ekonomi baharu, makmur, tetapi kaya dengan sumber pelbagai dan sifat harmoni hormat-menghormati dalam berkongsi tradisi dan budaya,” katanya.

Tambahnya, kepimpinan di bawah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membantu Sarawak untuk terus maju ke hadapan secara inklusif.

“Terima kasih kepada penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS). Dengan adanya pemimpin kompetensi kita tidak bimbang siapa yang menjadi Perdana Menteri,” ujarnya.

Sementara itu, pertandingan Onak Dayung Gawea pada Malam Bakat pada Jumaat (1 Julai) diungguli wakil tuan rumah, Teresa Benedicta David Melen dinobatkan sebagai johan.

Manakala Neilesha Samantha Shaelone, 6, wakil dari Kampung Semeba di tempat kedua diikuti tempat ketiga oleh Ash Ivonny Edwin, 6, wakil dari Kampung Selampit.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang, Pengerusi Pengelola Karnival Gawai Tematu dan Bitanding Dayung Gawea Tematu 2022, John Pata dan Ketua Kaum Kampung Tematu Geofrey Tahang.

-tamat-

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru