Thursday, August 18, 2022

Hadi: Roh mereka tersangkut dengan bekas penjajah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Golongan yang memperlekehkan penggunaan bahasa ibunda sendiri disifatkan oleh Presiden Pas menunjukkan jiwa mereka masih dijajah dengan “roh mereka masih tersangkut dengan bekas penjajah” walaupun menetap di negara yang sudah bebas.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahasa Inggeris  masih diberi keutamaan, baik di peringkat profesional mahupun awam.

“Mereka berucap dan bermesyuarat dengan menggunakan bahasa Inggeris dan melakukan pengumuman di darat dan udara dengan mendahulukan bahasa Inggeris,”  katanya dalam satu kenyataan.

“Bahkan, segala iklan di kedai dan pasar serta nama-nama bandar dan jalan pun dinamakan dengan bahasa Inggeris, walaupun sasarannya secara majoriti besar tidak tahu berbahasa Inggeris,” katanya.

“Apa yang paling menarik adanya kalangan mereka yang merasa malu apabila berbahasa kebangsaan dan melecehkan bahasanya sendiri.

“Walhal, kakinya berpijak di sini, tetapi rohnya tersangkut dengan bekas penjajah yang telah memperhambakannya,” katanya lagi.

Bagaimanapun, menurut beliau lagi,  kini sudah wujud kesedaran secara umum yang wajib diikuti dengan tindakan bersungguh-sungguh untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

“Jangan pedulikan suara songsang yang mengigau atau kalangan mereka yang gila mahu memaksa bahasa Melayu ditinggalkan,” katanya

Terdahulu, Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua urusan rasmi kerajaan, termasuk surat-menyurat, mesti menggunakan bahasa Melayu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru