Thursday, August 18, 2022

1,745 suspek ditangkap di Daerah Kuching sepanjang Januari hingga Jun

Secara Rawak

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menangkap seramai 1,745 suspek pelbagai kesalahan jenayah, narkotik dan komersial sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tangkapan terdiri dari 1,483 lelaki dan 251 wanita serta 51 pesalah juvana.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, IPD Kuching secara purata berjaya menangkap 10 suspek setiap hari.

“Dari jumlah tangkapan ini juga, seramai 1,693 merupakan warga tempatan dan 52 warga asing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 1,293 suspek terdiri dari 1,104 lelaki, 151 wanita dan 43 pesalah juvana telah berjaya didakwa di mahkamah.

Jelasnya, secara purata, seramai tujuh suspek didakwa setiap hari dalam tempoh tersebut.

Tambahnya, seramai 1,249 warga tempatan dan 49 warga asing telah dituduh di mahkamah.

“Pejabat ini juga turut berjaya memburu dan menangkap individu yang dikehendaki seramai 68 orang,” katanya.

Dengan kejayaan ini, Ahsmon berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya mencapai kadar pertuduhan 42 peratus dan kadar penyelesaian kes 56 peratus.

“Usaha ini telah membantu mengawal keadaan jenayah di Daerah Kuching dengan pengukuran nilai ambang mencatatkan penurunan sebanyak 46 peratus.

“Manakala kes indeks dan non indeks mencatatkan penurunan sebanyak 524 kes bersamaan 44 peratus,” katanya.

Sementara beliau berkata, Cawangan Narkotik berjaya mencapi kadar pertuduhan kes sebanyak 90.61 peratus dan kadar penyelesaian kes adalah 69.70 peratus.

Katanya, Bahagian Trafik mencapai kadar pertuduhan sebanyak 90 peratus dan kadar penyelesaian kes adalah 96.42 peratus.

“Manakala, Bahagian Komersial mencatatkan kadar pertuduhan kes sebanyak 36.22 peratus dan kadar penyelesaian kes adalah sebanyak 36.22 peratus,” ujarnya.

Katanya, IPD Kuching terus bertekad untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini dapat dipelihara sejajar dengan tiga fokus utama Ketua Polis Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru