Sunday, August 7, 2022

Pusat Sukan di Sibu ini mampu lahirkan atlet bertaraf dunia

Secara Rawak

SIBU: Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim baharu diharap dapat menggalakkan program sukan dari peringkat rendah ke antarabangsa di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Sibu Jaya.

Penyumbang utama Pusat Sukan Sibu Jaya, Tan Sri Azman Hashim percaya pembukaan pusat sukan bernilai RM13.9 juta dilengkapi pelbagai kemudahan sukan itu akan mempergiatkan pertumbuhan atlet bertaraf dunia serta membentuk masyarakat ke arah gaya hidup sihat dengan bersukan.

“Dengan adanya Pusat sukan baharu ini diharap lebih banyak acara sukan akan dibawa ke Sibu Jaya, sama ada peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan dan ini akan menggalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi dalam perbandaran.

“Kami juga berharap bakat-bakat sukan baru akan ditemui dan dikembangkan di Sibu Jaya.

“Kita sedia maklum Sarawak tidak kekurangan atlet, olahragawan dan olahragawati dunia seperti Datuk Pandalela Rinong, Watson Nyambek dan Bonnie Bunyau Gustin,” katanya pada majlis pelancaran pusat sukan komuniti dan Sukan Olimpik Khas ke-6 Sukan Negeri Sarawak di sini pada petang Jumaat (1 Julai) .

Turut membanggakan katanya, belia Sibu Jaya iaitu Pasukan Angkat Berat Sekolah Menengah Kebangsaan Sibu Jaya telah menggondol 15 pingat emas dan 10 perak semasa Sukan Sarawak 2019.

“Mungkin dengan adanya pusat sukan komuniti ini mereka dan generasi akan datang mampu menyerlah ke peringkat antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Azman, yang juga pengerusi eksekutif Kumpulan AmCorp Bhd mendedahkan pembinaan pusat terbabit turut terkesan semasa pandemik Covid-19.

“Selain bahaya virus, terdapat begitu banyak gangguan lain yang ditimbulkan oleh Covid-19 seperti penutupan sempadan, sekatan perjalanan, bekalan bahan, dan kekurangan tenaga kerja.

“Malangnya, banyak nyawa dan mata pencarian terjejas teruk semasa wabak itu. Namun begitu, tahniah kepada pasukan pembinaan, perunding, dan pakar sukan yang terlibat. Tanpa kesungguhan mereka yang tidak terhalang, penyiapan projek ini akan tertangguh dengan serius,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas kesudian merasmikan majlis perasmian pusat sukan komuniti itu.

Sementara itu, ribuan pengunjung turut hadir menyaksikan majlis perasmian Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim pada malam Jumaat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru