Monday, August 8, 2022

Kemudahan sukan RM13.9 di Sibu pusat cungkil bakat

Secara Rawak

SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya dapat membantu Sarawak melahirkan lebih ramai atlet bukan saja di peringkat nasional bahkan yang bertaraf dunia.

Menurutnya, kemudahan sukan itu yang bernilai RM13.9 juta dapat menjadi pusat bagi mencungkil bakat-bakat sukan yang berpotensi besar untuk dilatih bagi mengharumkan nama Sarawak.

“Kita di Sarawak banyak potensi dalam arena sukan, dan saya yakin dengan adanya kemudahan yang ada di Sibu Jaya ini dapat menambah para atlet kita yang boleh berlatih di Sibu Jaya dengan jurulatih yang baik dan akhirnya boleh menjadi atlet di perimgkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim dan Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak Ke-6 di Sibu Jaya pada malam tadi.

Pusat sukan tersebut didermakan oleh Amcorp Group Berhad melalui Yayasan Azman Hashim.

Dibina sebelum bermulanya pandemik COVID-19 pada 2020, pusat sukan itu mempunyai kemudahan sukan dalaman dan luaran yang lengkap.

Justeru, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azman Hashim yang merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp Berhad atas sumbangan pusat sukan itu yang terletak di Sibu Jaya.

Beliau optimis dengan adanya pusat itu, lebih ramai ahli sukan berbakat akan dilahirkan bagi mengharumkan nama negeri malah negara ini.

“Sarawak mempunyai banyak potensi dalam bidang sukan. Saya percaya dengan kemudahan ini, kita boleh meningkatkan bilangan atlet bukan sahaja bertaraf kebangsaan, malah bertaraf dunia” katanya berkata.

Dalam pada itu, Azman Hashim yang turut berucap pada majlis tersebut berharap lebih banyak acara sukan dibawa ke Sibu Jaya baik di peringkat antara bandar, negeri mahupun peringkat nasional pada masa akan datang.

Ini katanya, adalah untuk merancakkan kegiatan ekonomi di Sibu Jaya selain mencungkil bakat sukan yang boleh dilatih menjadi atlet bertaraf dunia seperti penerjun Sarawak Datuk Pandelela Rinong dan ramai lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru