Friday, August 19, 2022

Inisiatif pembangunan dinamik luar bandar

Secara Rawak

PUSA: Penubuhan Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) merupakan inisiatif berwawasan Kerajaan Sarawak. Pengerusi Persatuan Warga Islam Saribas (Perwaris) Dr Bolhan Budeng memberitahu, peluang, kekuatan serta kekurangan yang terdapat di luar bandar tidak sama dengan kawasan bandar.

“Oleh itu, wawasan pembangunan baharu melalui penubuhan BIDA mampu menangani ketidakseimbangan yang berlaku. “Perwaris melihat pengumuman oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tempoh hari boleh disifatkan sebagai inisiatif berwawasan yang jelas, progresif, dinamik serta berpandangan jauh ke depan dalam memaju pembangunan yang lestari,” katanya semalam.

Jelasnya, strategi pembangunan berwawasan yang jelas dan berfokus untuk sesuatu kawasan dapat merancak serta mempercepatkan segala yang dirancang. “Adalah tepat dan seimbang, yang mana penekanan diberikan untuk pembangunan fizikal dan insaniah… ini menepati prinsip pembangunan lestari yang perlu seiring kerana apa erti pembangunan jika sumber tenaga tidak dilatih.

“Justeru itu, saya berpendapat amat tepat strategi pembangunan ini dan sesuai untuk dilaksanakan di kawasan luar bandar kerana masih memerlukan kedua-duanya sekali. “Ini boleh membuka banyak peluang kepada belia luar bandar selain kemahiran, lantas boleh menangani penghijrahan ke bandar dan masalah sosial,” ujarnya.

Bolhan menambah, strategi pembangunan yang baharu ini boleh menjadi contoh yang sangat baik kerana ia mempunyai fokus tertentu berdasarkan ciriciri serta kekuatan yang ada yang sesuai dilaksanakan. “Syabas kepada Kerajaan Sarawak dan Abang Johari yang mencetuskan strategi pembangunan seperti BIDA ini,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru