Friday, August 19, 2022

Sarawak yakin capai 1.2 juta pelawat  tahun ini

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak yakin akan mencapai sasaran kemasukan 1.2 juta pelawat pada tahun ini susulan penganjuran pelbagai acara menarik yang bakal berlangsung di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,  439,150 orang telah melawat Sarawak sejak Januari hingga Mei lepas berbanding 560,278 untuk sepanjang 2021.

“Ini menunjukkan peningkatan 680 peratus berbanding tahun sebelumnya. Jumlah pelawat asing dari Januari hingga Mei 2022 ialah 43,404, iaitu peningkatan 376 peratus  berbanding tempoh sama 2021 yang menyaksikan hanya terdapat 9,108 pelawat,” jelasnya.

“Pada tahun lepas kita hanya menerima seramai 56,278 orang pelancong namun bilangan pada tahun ini menunjukkan peningkatan drastik,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Festival What About Kuching di sini  semalam.

Beliau percaya angka itu akan meningkat bagi enam bulan berbaki untuk tahun ini.

Abdul Karim berkata,  peningkatan itu  mampu dicapai memandangkan pelbagai acara dalam kalendar pelancong negeri bakal dianjurkan termasuklah Larian Spartan Sarawak dan Regata Sarawak.

“Saya yakin bermula Jun hingga Disember, jumlah itu akan meningkat dan kita akan mencapai sasaran 1.2 juta pengunjung menjelang Disember. Setiap bulan terdapat acara termasuk maraton antarabangsa dan festival makanan Kuching, ” katanya.

Jelas Karim lagi, pembukaan pintu sempadan Brunei pada Ogos juga akan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelawat pada suku keempat 2022. 

Katanya, dianggarkan lebih 4,000 pelawat akan memasuki Sarawak melalui laluan berkenaan setiap minggu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru