Friday, August 19, 2022

Produk luar bandar menembusi pasar raya besar

Secara Rawak

LUBOK ANTU: Pencapaian usahawan dalam kalangan masyarakat luar bandar di Sarawak sehingga mampu memasarkan produk sehingga ke luar negara sangat membanggakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Zulfikri Osman berkata usaha tersebut memerlukan tempoh beberapa tahun untuk membangunkan usahawan-usahawan ini sehinggalah mereka dapat mengeluarkan produk ke peringkat tersebut.

“Hasil tinjauan ke kawasan penternakan ikan sangkar tilapia milik D’Mummy’s menunjukkan kemajuan yang sangat memberangsangkan sehingga mampu menembusi pasaran pasar raya besar seperti Boulevard Hypermarket, AEON Mall, Mydin, Everise, Kiosk di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching, Sibu dan Bintulu.

“Pemiliknya, Regina Lambor bermula dari perniagaan kecil-kecilan, namun kini berjaya dibangunkan dengan menghasilkan produk hiliran untuk dipasarkan seperti ikan pekasam tilapia dan manisan coklat Borco di Batang Ai.

“Pembangunan perniagaan ini hasil daripada khidmat nasihat oleh pegawai Mara di Sri Aman kepada usahawan yang terlibat sehingga perniagaan mereka berjaya dikembangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Batang Ai, di sini, semalam (Khamis).

Tambahnya, Mara juga membantu pengusaha sedemikian untuk membuat hubungan dengan peniaga dalam dan luar Sarawak seperti Singapura, Thailand dan lain-lain untuk meluaskan pasaran mereka (usahawan).

Selain itu, agensi kerajaan ini juga komited membantu usahawan untuk mendapatkan sijil halal agar jenama tersebut lebih diyakini serta mampu dipasarkan ke pasaran yang lebih berpotensi untuk menghasilkan pulangan yang tinggi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru