Friday, August 19, 2022

Dua lelaki maut, motosikal hilang kawalan di Jln Tatau-Bintulu

Secara Rawak

TATAU: Dua lelaki maut, selepas motosikal dinaiki mereka hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 1,Jalan Tatau- Bintulu, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Wedisly Duhanis, 31, dan rakannya yang membonceng, dikenali sebagai Leonardo Yusup,37, mati di lokasi kejadian susulan kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Jame Reis berkata kejadian berlaku semasa motosikal yang dinaiki kedua -dua mangsa sedang bergerak dari tempat kerja mereka menuju ke Pasar Tatau.

“Setibanya di tempat kejadian, mangsa cuba memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapan mereka.

“Namun, motosikal dinaiki mangsa terjatuh dan terseret ke sebelah lorong bertentangan lalu dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 68 tahun yang kebetulan memandu di lorong tersebut,” katanya.

Impak kemalangan tersebut, menurut Jame lagi, menyebabkan penunggang dan motosikal itu mati di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru