Tuesday, August 16, 2022

Suasana kondusif SK Abang Man

Secara Rawak

KUCHING: Kawasan Simunjan bakal menyaksikan bangunan Sekolah Baharu SK Abang Man yang dilengkapi dengan kemudahan selesa apabila siap sepenuhnya kelak.

Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau bersyukur kerana perjuangan dan hasratnya untuk mendapatkan sekolah baharu bagi menggantikan sekolah yang lama di Simunjan sudah tercapai.

“Ia melibatkan pembinaan gantian penuh 18 bilik darjah, asrama (100 pelajar), rumah guru (enam unit) dan lain-lain kemudahan di sekolah tersebut telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke11 (RMK-11).

“Ini adalah untuk menggantikan sekolah SK Abang Man yang lama kerana keadaan yang tidak selesa dan struktur tanah yang semakin susur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, kelmarin.

Tambahnya, selaras dengan teras pembangunan Parlimen Batang Sadong, perjuangan ini juga akan diteruskan sehingga beliau dapat melihat arus pembangunan pendidikan di Simunjan berubah wajah.

“Ia penting untuk sesuatu daerah kerana pendidikanlah yang akan melahirkan insan-insan berjaya suatu hari kelak.

“Sudah pasti apabila siapnya sekolah ini kelak, murid-murid dapat memberi sepenuh perhatian kepada guru yang mengajar selain turut memberi keselesaan kepada mereka.

“Ia juga dapat mewujudkan suasana yang lebih kondusif kepada para guru dan kakitangan sekolah untuk bekerja,” jelasnya.

Beliau berharap, masyarakat juga turut berdoa agar perjalanan dan proses penyiapan pembinaan sekolah tersebut dapat berjalan dengan lancar dan siap tepat waktu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru