Friday, October 7, 2022

Pecah cermin kereta: Pemuda didenda RM3,500

Secara Rawak

KUCHING: Padah memecahkan cermin kereta milik kenalannya, seorang lelaki dikenakan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Ryker Bhremer Polycarp, 32, turut berdepan hukuman lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Mahkamah Majistret membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta milik mangsa berusia 26 tahun hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM350.

Dia melakukan perbuatan itu, di simpang Kampung Sira, Tapah, kira-kira jam 3.09 petang, 21 Jun lepas.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu bersama rakannya menggunakan sebuah kereta milik kawannya keluar dari simpang Kampung Sira,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis sedan dari arah belakang cuba menghalang kereta mereka.

Kemudian, pengadu memberhentikan kereta yang dipandunya di tepi jalan dan kereta itu turut berbuat demikian.

Kelihatan seorang lelaki yang dikenali keluar dari kereta tersebut lalu menyuruh pengadu keluar dari kereta mereka, namun pengadu enggan berbuat demikian.

Berang melihat pengadu tidak mahu mengikut arahan, tertuduh kemudian menepuk cermin kereta rakan pengadu hingga menyebabkan keretakan.

Pengadu dan rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan sebelum ini, tertuduh juga pernah menyerang pengadu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru