Thursday, August 18, 2022

Mahathir minta Zahid bubar Umno

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya membubarkan UMNO kerana parti itu tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.

Ahmad Zahid berkata semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Jun 2018 itu, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atas nama Melayu.

“Dalam pertemuan empat mata itu, Tun Mahathir cakap UMNO tiada masa depan, UMNO sudah mati, UMNO ditolak oleh Melayu dan pengundi BN (Barisan Nasional) terkubur kerana 13 parti komponen hanya tinggal empat.

“Beliau (Dr Mahathir) meminta saya supaya lompat parti, tinggalkan UMNO dan sertai PPBM. Tun Mahathir kata UMNO tidak boleh dipercayai, perompak, penyamun, perasuah, malah jijik dan kotor. Beliau minta UMNO dibubarkan dan dia suruh saya maklumkan kepada ahli UMNO supaya sertai PPBM dan suruh saya lupakan UMNO,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Ahmad Zahid, 69, berkata beliau menolak permintaan Dr Mahathir itu dan menyatakan bahawa sekiranya ditakdirkan beliau (Ahmad Zahid) menyertai PPBM selepas diberikan kepercayaan untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO dan esoknya beliau (Ahmad Zahid) meninggal dunia, kuburnya akan banjir.

“Saya menyatakan bahawa saya tidak akan bubarkan UMNO, tak rela parti ini dikuburkan tanpa batu nisan, tak mahu parti sejak 1946 itu terkubur begitu sahaja.

“Saya beritahu Tun Mahathir, jika saya sertai PPBM, tapi ditakdirkan saya mati keesokan hari, kubur saya akan banjir sebab 3.8 juta ahli UMNO datang dan kencing atas kubur saya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata perjumpaan terbabit disampaikan oleh dua wakil iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang menyatakan bahawa Dr Mahathir berhasrat untuk berjumpanya.

“Datuk Khairuddin dan Hamidah beritahu saya bahawa Tun Mahathir nak jumpa saya, pada masa itu saya tidak terbuka nak jumpa, walaupun dia sudah jadi perdana menteri.

“Semasa pertemuan dengan Tun Mahathir, beliau menyatakan bersedia bertemu dengan sesiapa, hakikat mereka lah (Khairudin dan Hamidah) yang meminta saya berjumpa Tun M. Ini disahkan oleh Hamidah sendiri, ini bermakna Hamidah nyatakan yang benar tetapi Khairuddin pesongkan fakta,” katanya.

Kepada soalan Ahmad Zaidi, selepas pertemuan dengan Tun Mahathir, apakah yang berlaku selepas itu, Ahmad Zahid menjawab: “Saya telah diugut jika tidak lompat parti ke PPBM dan jika saya tidak bubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya.

Menurut Ahmad Zahid, kali kedua pertemuannya dengan Tun Mahathir berlaku bersama lima pemimpin tertinggi UMNO pada September 2018 dan ketika itu perkara sama dinyatakan kepada mereka.

Ahmad Zaidi: Boleh Datuk Seri nyatakan nama lima pemimpin itu?

Ahmad Zahid: Saya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hasil pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata mereka berlima mengambil keputusan untuk terus menjadi ahli politik pembangkang (UMNO).

Menceritakan mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir, beliau menyifatkan Ahli Parlimen Langkawi itu berdendam dan mencemburuinya sejak beliau menang dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 1996.

Ahmad Zahid berkata ketika beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Pengarah Cawangan Khas (PCK) menemuinya dan meminta beliau menulis surat dan meletak jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, PCK memintanya menulis dengan tulisan tangan iaitu ‘saya dengan rela hati meletak jawatan bagi menyelamatkan Pemuda UMNO daripada pelbagai tohmahan’ dan surat itu kemudian dihantar kepada Presiden UMNO ketika itu Dr Mahathir.

“Pada 2 pagi, PCK datang semula dan memberitahu saya Tun Mahathir menerima surat perletakan jawatan itu dan meminta saya menulis satu lagi surat menyatakan saya meletak jawatan dengan rela hati tanpa sebarang paksaan atau tekanan. Saya menulis surat (kedua) mengikut ayat yang diberikan oleh PCK dan selepas menghantar surat itu, saya dibebaskan daripada tahanan ISA.

“Dendam dan kecemburuannya dalam politik lebih buruk daripada cemburu di antara suami isteri. Saya tidak berniat untuk memburukkan individu yang dianggap negarawan dan tokoh negara tetapi saya nak mengatakan yang benar. Biarlah saya simpan apa yang dilakukannya,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru