Saturday, September 24, 2022

353 penduduk terima surat hak milik tanah

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Seramai 353 penduduk dari Kampung Endap, Kampung Pinang dan Tanah Puteh menerima surat hak milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) pada majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (Pertanian) serta Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN (kediaman) Kampung Tradisi Kampung Endap di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah tersebut merangkumi sebanyak 54,551 lot individu telah diukur melibatkan kawasan seluas 67,783 hektar (167,495 ekar) dilaksanakan di seluruh Sarawak setakat 31 Mei 2022 lalu.

“Pengeluaran surat hakmilik Tanah Seksyen 18 KTN ini memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah, antaranya tempoh pegangannya kekal selama-lama selagi ada bulan dan bintang.

“Ini bermakna pemilik tanah mempunyai hakmilik kekal ke atas tanah tersebut, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan surat hakmilik tanah, malah turut dikecualikan premium tanah,” katanya ketika berucap pada majlis pagi tadi.

Jelasnya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan.

Sehubungan itu beliau memberitahu inisiatif baharu pengiktirafan dan pemberian surat hakmilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) membuktikan pimpinan YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg peka dan prihatin terhadap rakyat.

Oleh demikian katanya, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah NCR mereka sekiranya tuntutan itu adalah sahih mengikut perundangan.

Tambahnya, pelaksanaan program pengukuran kampung tradisional juga giat diteruskan untuk memastikan jaminan hakmilik ke atas tanah para penduduk kampung bagi kampung-kampung lama sama ada di kawasan yang telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN (Kampung) atau sebaliknya.

“Setakat ini, sebanyak 56,849 lot kediaman daripada 386 buah kampung di seluruh Sarawak telah pun disukat. Daripada jumlah tersebut sebanyak 53,526 lot telah pun dikeluarkan surat hakmilik,” katanya.

Beliau juga mendedahkan seramai 147 penduduk Kampung Endap turut menerima surat hakmilik tanah tersebut masing-masing pada majlis tersebut.

Len Talif menegaskan Program Pengukuran Tanah NCR inisiatif baharu yang diperkenalkan pada tahun 2010 memberi impak positif khususnya kaedah pengukuran yang lebih berkesan serta cepat.

Buktinya, beliau mendedahkan dari tahun 2010 hingga 31 Mei 2022, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 1,034,037 hektar (2.55 juta ekar) seluruh bahagian negeri Sarawak.

Daripada jumlah tersebut seluas 794,503 hektar atau 1.96 juta ekar telah pun diwartakan.

Justeru beliau menyeru kepada para penuntut yang menerima lot pengukuran secara individu memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak agar gerak kerja pengukuran dapat dijalankan dengan lancar.

Tegasnya, kerjasama penuh daripada ketua kaum, ketua masyarakat dan pemilik tanah NCR sangat penting dalam program pengukuran tanah NCR terbabit bagi memastikan tiada kelewatan program penyukatan tanah dan surat hakmilik tanah lambat diperolehi berlaku.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muara Tuang, Datuk Idris Buang dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Monalisa Ismail.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru