Thursday, August 18, 2022

Wakil Sarawak ke Turki peroleh benang tenunan songket, keringkam

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menghantar perwakilan ke Turki bagi memperoleh benang untuk tenunan songket dan keringkam di negeri ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau dimaklumkan oleh isterinya, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang bahawa terdapat kesukaran untuk menghasilkan songket dan keringkam tanpa benang tersebut.

“Saya akan menghantar perwakilan ke Turki untuk mendapat tahu akan benang tersebut dan mengimport benang tersebut ke Sarawak,” katanya ketika berucap pada malam Anugerah Komuniti dan Kemanusiaan Warisan Tidak Ketara (ICH) di Dewan Santapan DUN, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pusat songket dapat diwujudkan di seluruh negeri yang boleh menyediakan ruang untuk penghasilan, pendidikan dan latihan.

Katanya, ia bukan sahaja menyuntik rangsangan dalam ekonomi tempatan namun menyediakan ruang untuk setiap komuniti untuk membiasakan diri dalam seni songket.

“Pusat Songket tersebut kemudiannya boleh menjadi koperasi yang boleh membantu memasarkan songket Sarawak sebagai produk.

“Ini membolehkan komuniti untuk mengekalkan industri songket di daerah mereka dan menjadi kreatif dalam cara untuk memasarkan songket mereka,” jelasnya.

Abang Johari berkata, sekiranya ia dilaksanakan, songket tidak lagi barangan kampung namun barangan global yang boleh mendapat harga yang tinggi.

“Kita boleh mengambil contoh dari kimchi Korea yang berasal dari kampung tetapi kini barangan global yang dicari ramai,” ujarnya.

Katanya, penggunaan songket dalam pelbagai majlis boleh digalakkan dalam membantu pasaran dan permintaan.

Jelasnya, pemakaian songket boleh digalakkan pada majlis negeri dan majlis rasmi selain dipromosikan pada persembahan tradisional seperti silat atau persembahan tarian.

Abang Johari berkata, songket mempunyai kelebihan dan tidak terhad kepada elemen pakaian seperti samping atau sarung.

“Kain songket dan motifnya boleh digunakan pada barangan seperti dompet atau topeng pelitup muka, malah sarung pasport atau alas meja,” katanya.

Katanya lagi, motif songket juga boleh didigitalkan dengan industri kreatif berpeluang menyumbang kepada kelestarian Songket dengan menginovasi dan mendigitalkan motif songket dalam reka bentuk mereka.

Turut hadir, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pengarah Pusat Maklumat dan Rangkaian Antarabangsa untuk Warisan Budaya Tidak Ketara di Rantau Asia Pasifik di bawah naungan UNESCO (ICHCAP) Kim Jisung.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru