Thursday, August 18, 2022

Tiada parti yang dapat bentuk kerajaan

Secara Rawak

KUCHING: Ketidakstabilan politik di Semenanjung Malaysia mungkin akan mengakibatkan tiada parti yang akan dapat membentuk kerajaan disebabkan tiada satu parti yang mempunyai majoriti yang cukup.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berharap Sarawak melalui Gabungan Parti Sarawak(GPS) akan menjadi faktor untuk menstabilkan politik di Malaysia.

“Pada PRU yang akan datang, saya berharap GPS akan dapat memberi kemenangan kepada kesemua 31 kerusi agar Sarawak menjadi faktor untuk menstabilkan keadaan politik di Malaysia dengan jumlah kerusi yang akan dipertandingkan.

Kita tahu apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia, mungkin tidak akan ada parti di sana yang akan dapat majoriti yang cukup untuk membentuk sebuah kerajaan,” kata Karim pada sidang media Konsert Tribute Amal Queen: ‘I Want to Break Free’ yang berlangsung di Waterfront Hotel, semalam seperti dipetik TVS.

Tambah beliau, untuk menjadi seorang ahli politik yang berkaliber, seseorang itu perlu mempunyai pendirian yang kuat.

“Saya tidak menunding jari kepada mana-mana pihak.

“Tetapi mereka telah menandatangani akuan berkanun. Kalau mereka sanggup berbuat demikian dan selepas itu menyokong yang lain, sekejap Anwar, sekejap Mahathir, sekejap Ismail, saya rasa mesti ada yang tidak kena dengan orang tersebut,” tambah Karim lagi merujuk masing-masingnya kepada Presiden PKR  Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub..

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berharap prestasi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri yang lepas yang berjaya meraih majoriti 92.6 peratus, akan sedikit sebanyak membantu kerajaan di Semenanjung Malaysia untuk membentuk kerajaan yang stabil.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru