Thursday, August 18, 2022

Motif, elemen dan reka bentuk songket asli perlu dipelihara dan dilindungi

Secara Rawak

KUCHING: Motif, elemen dan reka bentuk songket asli yang dan diturunkan dari generasi ke generasi perlu dipelihara dan dilindungi agar keaslianya tidak hilang.

Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, motif seperti pucuk rebung akan sentiasa dikenali sebagai pucuk rebung tidak kira bagaimana ia digabungkan dalam reka bentuk digital atau corak tekstil.

Katanya, ramai tidak menyedari bahawa songket mempunyai reka bentuk yang tersendiri ataupun reka bentuk pada gaya songket itu dilihat di pelbagai rantau dan bukan sahaja diamalkan di Malaysia.

“Meskipun kita tidak mengetahui siapa pencipta awal songket, kita tahu bahawa seni ini diamalkan orang mereka dari pelbagai kawasan di rantau Nusantara.

“Dengan itu, terdapat keperluan untuk memelihara dan melindungi motif, elemen dan rekaan songket yang diturunkan generasi ke generasi,” katanya ketika berucap pada Anugerah Kemanusiaan dan Komuniti ICH Dewan Santapan DUN, di sini semalam.

Beliau berkata, di Malaysia, motif dan elemen yang terdapat pada songket boleh diinventorikan sebagai warisan budaya tidak ketara (ICH).

Katanya, ini akan membantu memastikan bentuk asal songket tersebut dapat dikenal pasti.

“Melalui ICH, motif dan elemen yang terdapat pada songket, sejarah dan nilai budayanya akan dapat dilindungi agar asal usulnya tidak hilang dengan derivatif dan variasi.

“Kewujudan songket yang dilihat di pelbagai wilayah yang berbeza dapat membantu mempromosi dan membangun dialog antara budaya serta mengalakkan sifat hormat antara budaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, pihaknya mahu mewujudkan kesedaran berhubung kepentingan ICH dan penghargaannya dalam negara dalam kalangan masyarakat dan organisasi.

“Kita mahu orang ramai dan komuniti untuk mengetahui ICH adalah sesuatu untuk dihargai dan dilindungi.

“Dalam pengertian ini, penganugerahan Anugerah ICH ini sebagai cara untuk memperkenalkan dan menekakan konsep dan kepentingan melindungi ICH kepada komuniti,” katanya.

Tambahnya, Anugerah Komuniti ICH ini merayaikan dan mengiktirafkan mereka yang meneruskan amalan seni songket secara tempatan.

Malah katanya, ia akan mengalakkan generasi masa hadapan untuk mempelajari penenunan songket.

Turut hadir Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Ketua Pengarah Pusat Maklumat dan Rangkaian Antarabangsa untuk Warisan Budaya Tidak Ketara di Rantau Asia Pasifik di bawah naungan UNESCO (ICHCAP) Kim Jisung serta kenamaan yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru