Thursday, August 18, 2022

Kerajaan teruskan subsidi ayam, telur

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan telur, sebaliknya meneruskan pemberian subsidi

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee memberitahu, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam.

“Sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

“Mesyuarat juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar RM0.45 sebiji bagi gred A, gred B (RM0.43 sebiji) dan gred C (RM0.41 sebiji) di Semenanjung Malaysia.

“Penetapan harga siling ayam standard dan telur ini berkuat kuasa bermula 1 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, dengan pelaksanaan subsidi ini kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lalu.

“Keputusan ini mengambil kira dan diselaraskan dengan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, melalui inisiatif bantuan tunai termasuk bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sebahagian daripada golongan berpendapatan sederhana (M40).

“Seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2600 tahun ini.

“Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan,” ujarnya.

Tambah Ronald, isu kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia sahaja, sebaliknya merupakan fenomena global ekoran gangguan rantaian bekalan akibat konflik geopolitik dan perubahan iklim.

Kerajaan bagaimanapun katanya, sedaya-upaya berusaha menetapkan mekanisme memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru