Thursday, August 18, 2022

Anjur dialog dengan ibu bapa

Secara Rawak

SIBU: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini disyor mengadakan sesi dialog dengan ibu bapa dalam usaha mengenal pasti masalah berkaitan.

Menurut Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing, ramai keluarga menghadapi masalah selepas pandemik Covid-19 ini.

“Sekarang ramai ibu bapa menghadapi masalah kewangan,” tegasnya.

“Kita tidak mahu masalah-masalah yang timbul selepas Covid-19 ini menghalang mereka menghantar anak-anak ke sekolah.

“Oleh itu, saya memohon PPD atau jabatan pendidikan supaya menganjurkan sesi dialog ini bersama-sama para ibu bapa.

“Di sinilah, kita tanya dan mengetahui masalah yang dihadapi mereka dan pada masa yang sama mencari jalan penyelesaian,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu.

Beliau sedia membantu pihak sekolah menyediakan tempat untuk berdialog.

Tiong berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2022 Bagi Kawasan Dun Dudong di SJK(C) Thai Kwang di sini, semalam.

Seramai 649 pelajar dari kawasan Dun Dudong telah terpilih menerima bantuan tersebut melalui baucar tunai RM200.

Daripada jumlah tersebut, 368 adalah pelajar sekolah menengah, manakala 281 orang adalah dari sekolah rendah.

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Adun Dudong, Pejabat Residen Sibu, Pejabat Daerah Sibu dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Ujar beliau, sekiranya mana-mana sekolah menghadapi masalah untuk menganjurkan sesi tersebut pusat khidmatnya sedia membantu.

“Apa yang lebih penting, kita sebagai kakitangan kerajaan harus mendekati masyarakat.

Dengar masalah dan selesaikan.

“Kita tidak biarkan isu keluarga ini sebagai penghalang kepada anak-anak ini yang sepatutnya bersekolah,” ujarnya yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke China.

Dalam perkara berasingan, beliau menggesa Yayasan Sarawak agar meneruskan bantuan untuk para pelajar yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Jelas beliau, walaupun bantuan ini sedikit tetapi ia amat bermakna buat keluarga golongan B40 dalam meringankan beban mereka.

“Kita hendaklah selalu bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini.

Saya mahu ibu bapa dapat menggunakan bantuan ini dengan sebaiknya untuk menyekolahkan anak-anak,” katanya lagi.

Hadir sama ialah Pemangku Penolong Pengarah Yayasan Sarawak (Bagi Program dan Bantuan) Mahathir Mohammad, Timbalan Residen Bahagian Sibu Awang Mohammad Nizam Awang Ali Borhan, Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Ahli Chikba dan Guru Besar SKJ(C) Thai Kwang Sio Siok Hie.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru