Thursday, August 18, 2022

Adat, budaya tarik pelancong

Secara Rawak

BATANG LUPAR: Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) yang baharu ditubuhkan akan merancakkan pembangunan yang dirancang di Bahagian Betong.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Rohani Abdul Karim berkata, beliau menyeru masyarakat setempat dan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) memainkan peranan dalam membantu BIDA merancang kemudahan dan keperluan penduduk di Betong serta di Daerah Pusa.

“Selain daripada peranan KMKK, bagi pihak masyarakat, saya juga ingin menggesa rakyat untuk mengekalkan dan memelihara adat resam dan budaya supaya ia dapat diteruskan untuk generasi akan datang.

“Tambahan pula, adat dan budaya kita boleh digunakan untuk menarik pelancong di samping mempromosikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai etnik, kaum dan agama di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gawai Ngiling Tikai di Rumah Bunsi, Munggu Ruan Muton di sini.

Hadir sama dalam majlis tersebut Adun Beting Maro Razaili Gapor. Bagi Razaili, beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat kerana memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri lalu.

“Rakyat di Sarawak membuat pilihan tepat untuk memastikan persekitaran politik kita stabil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pembangunan yang dirancang di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Beliau (Premier) seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan telah banyak membawa pembangunan kepada Negeri dari segi kemudahan asas seperti yang dibuktikan di kawasan Beting Maro,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru