Thursday, August 18, 2022

Unimas perlu hasilkan lebih banyak pakar dalam pertanian

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diberi kepercayaan untuk melakukan penyelidikan berkaitan produktiviti hasil pertanian di Sarawak sambil berharap agar universiti itu dapat memainkan peranan menghasilkan lebih banyak pakar dalam bidang pertanian ketika negara sedang menghadapi krisis bekalan mentah.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, penubuhan makmal berkenaan akan menyaksikan lebih banyak aktiviti pertanian moden dan komersial dilaksanakan penduduk.

Jelasnya, pendedahan sedemikian juga boleh menarik generasi muda untuk melihat pertanian sebagai perniagaan dan bukannya kerjaya kelas rendah.

Tambah beliau, komitmen daripada warga serta graduan universiti itu diperlukan bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menghasilkan kepakaran dalam bidang berkenaan serta usaha menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030.

Katanya, UNIMAS juga akan membantu memberi pendidikan berkaitan pertanian kepada masyarakat.

Malah, beliau percaya institusi tersebut akan mempunyai kepakaran dalam hal berkenaan yang dapat membantu kerajaan negeri memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menceburi bidang pertanian sebagai sebuah perniagaan.

“Saya telah berunding dengan pihak UNIMAS untuk membuat makmal di luar bandar. Apabila dah ada makmal, maka mereka boleh melatih masyarakat di kawasan tersebut termasuk petani kita lebih-lebih lagi petani muda yang ada latar belakang mengenainya,” katanya dalam ucapan perasmian Konvokesyen Komemoratif UNIMAS di sini pada Isnin.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 3,695 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat dan bidang pengajian.

“Kita sedang melakukan penyelidikan berkaitan pertanian dalam usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport menjelang 2030 dan mengurangkan kebergantungan import,” kata Pro-Canselor UNIMAS itu.

“Oleh itu, saya lihat masa yang diambil untuk melihat hasil penyelidikan itu tidak mengambil masa lama memandangkan input semua kita ada, sekarang ini kita hanya perlu meyakinkan para petani terutama petani dalam kalangan golongan muda untuk melihat pertanian sebagai sebuah perniagaan,” ujarnya.

Jelasnya, memandangkan Sarawak mempunyai tanah yang luas, negeri itu seharusnya boleh menjadi pengeksport makanan dan bukannya pengimport.

“Kemajuan teknologi pada era Revolusi Industri 4.0 ini, graduan seharusnya menjadi lebih kreatif serta sentiasa mencari peluang dan jalan penyelesaian dalam situasi yang bakal dihadapi,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru