Thursday, August 18, 2022

Sarawak kuasai Kejohanan Golden Gloves Perlis

Secara Rawak

KUCHING: Skuad tinju Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila meraih tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Kejohanan Golden Gloves 2022, Perlis yang berakhir, hari ini.

Pencapaian tersebut sekali gus menjadi rekod terbaik negeri kenyalang sejak sepanjang menyertai kejohanan berprestij itu.

Tiga emas berjaya dirangkul oleh Daeloniel Mcdelon Bong atau dikenali ‘Kilat Boy’ dalam kategori 57 kg, Mohammad Hellmi Chieng kategori 67 kg, dan Lam Wee Liang dalam kategori 60 kg.

Muhammad Syawal Mohamad Isha pula meraih perak dalam kategori 51 manakala gangsa masing-masing disumbangkan Darren Ch’ng Yong Kui (71kg) dan Hellary Hendry (92kg).

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Datuk Rahman Lariwoo menegaskan komitmen baik diberikan atlet-atlet dalam menggalas tanggungjawab sehingga berjaya melakar pencapaian luar daripada sasaran mereka.

“Kutipan pingat kali ini adalah di luar dari sasaran kita namun sebaliknya petinju kita berjaya membuktikan kemampuan mereka walaupun ditentang petinju-petinju berpengalaman.

“Saya berbangga dan berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan kesemua mereka lebih-lebih lagi petinju remaja kita kerana turut berjaya menyumbang pingat,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Tambahnya, kejayaan tersebut membuktikan program pembangunan yang dilaksanakan selama ini membuahkan hasil selepas berjaya melahirkan bakat-bakat baharu dalam pentas tinju.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SCC) dalan menyokong program pembangunan dilaksanakan oleh SABA.

Tegasnya, tanpa sokongan dan dokongan dari semua pihak, adalah mustahil untuk SABA menggerakkan perancangan pembangunan untuk memartabatkan sukan itu di negeri ini.

Terdahulu, Sarawak menghantar seramai 10 petinju dengan tujuh daripadanya merupakan atlet SUKMA manakala tiga petinju dari skuad remaja.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru