Friday, August 19, 2022

Safari Rakit Padawan bakal bertaraf dunia

Secara Rawak

PADAWAN: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akan menyuntik dana untuk membantu Safari Rakit Padawan dianjurkan secara antarabangsa tahun hadapan.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan kira-kira 100 peserta pada edisi ke-18 tahun ini menggambarkan acara tersebut mendapat sambutan yang baik.

Justeru katanya, sudah tiba masanya untuk Safari Rakit Padawan diadakan dalam skala yang besar dengan pengurusan yang mantap selain menaik taraf prasarana.

“Kementerian akan menyuntik dana untuk membolehkan acara ini dijayakan. Saya mahu melihat Safari Rakit Padawan ini mencapai tahap Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RMWF) dan dianjurkan seperti perlumbaan bot naga dan regata,” katanya ketika berucap pada penutupan Safari Rakit Padawan 2022 di Dewan Kampung Git semalam.

Beliau berkata, penganjuran sedemikian yang menghimpunkan ramai peserta luar negara sekaligus memberi manfaat kepada sektor  pelancongan dan perhotelan.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan berkata, peruntukkan tersebut akan digunakan untuk menaik taraf prasarana di lokasi acara selain untuk penganjuran acara itu sendiri.

Jelasnya, penganjuran berstatus antarabangsa ini harus memenuhi standard agar tidak memberi gambaran yang tidak baik kepada acara tersebut.

Dalam pada itu, katanya, keindahan flora dan fauna di sini harus dijaga sebaiknya kerana ia merupakan khazanah yang berharga untuk penduduk di situ. “

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk di sini harus menjaga keindahan sungai agar ia sentiasa dikunjungi pengunjung,” ujarnya.

Pada acara tersebut, Abdul Karim turut menyampaikan trofi kepada pemenang bagi kategori 40 kilometer kayak, 22 kilometer rakit wanita, 22 kilometer rakit hotel dan agensi pelancongan, 22 kilometer rakit agensi kerajaan dan 32 kilometer kategori terbuka.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim dan Setiausaha MPP Elizabeth Loh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru