Thursday, August 18, 2022

Pendedahan Tajuddin: Lawan tepuk tangan, ahli Umno keliru

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pendedahan yang dibuat Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman semalam hanya memberi peluru kepada lawan untuk menyerang Umno selain mengelirukan ahli parti itu sendiri.

Menurut  Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan, ini berlaku pada saat Umno dan BN, menerusi perhimpunan agung, perhimpunan agung khas dan Konvensyen BN sebelum ini, telah menunjukkan kesepakatan menuju PRU-15.

“Sudah tentu yang paling gembira mendengar dakwaan tersebut ialah pihak lawan.

“Lawan tepuk tangan. Ahli keliru.” katanya lagi.

“Naratif lawan akan jadi mudah – ‘bagaimana Umno hendak jual kestabilan kalau dalam Umno sendiri tak berpadu?'” katanya dalam kenyataan.

Katanya,  “cerita lama tak perlu diungkit dan ditokok tambah” dan hadir dalam mana-mana perjumpaan tidak semestinya bermaksud menyokong apa-apa gerakan.

“Hari-hari adu domba dan mesej tular melabel si polan kluster Putrajaya, si polan kluster PWTC.  Spekulasi tak henti-henti yang ini akan kena pecat, yang itu akan kena pecat. Yang ini akan jadi calon, yang itu takkan jadi calon. Ada yang tembak presiden ada yang tembak perdana menteri. Cybertrooper Umno digerakkan untuk serang orang Umno sendiri,’ katanya merujuk kepada perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Dalam sidang media semalam, Tajuddin yang digugurkan daripada Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini  antara lain menyifatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai beban kepada Umno menuju PRU-15.

Beliau mendakwa memang wujud akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen Umno untuk menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri,

Ahli Parlimen Pasir Salak  itu berkata, laungan ‘No DAP, No Anwar,No PKR’ oleh Presiden Umno adalah sandiwara dan pembohongan semata-mata.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru