Thursday, August 18, 2022

Malaysia terus jadi pilihan pelajar antarabangsa

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Malaysia masih menjadi destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian mereka, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata walaupun jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke negara ini sedikit merosot ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19, namun keadaan mula positif pada 2021 dengan peningkatan semula permohonan sehingga 32 peratus.

“Keadaan ini diperkukuh dengan pengiktirafan Kuala Lumpur di tempat kedua dalam QS Top Universities ‘Most Affordable City for Students’ untuk tahun 2018 dan 2019. Dalam erti kata lain, kos pengajian yang ditawarkan adalah berpatutan,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulangtahun ke-10, Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS), di sini, malam tadi seperti dipetik Bernama.

Tambah Noraini, banyak faktor yang boleh dijadikan penarik untuk menggalakkan kemasukan lebih ramai pelajar asing ke negara ini, seperti kualiti pendidikan yang diiktiraf bertaraf dunia.

“QS World University Rankings dalam laporannya beberapa minggu lepas merekodkan empat universiti kita berada dalam kelompok 200 yang terbaik dunia, dan salah satu daripadanya disenaraikan dalam kelompok 100 terbaik, iaitu Universiti Malaya.

“Malah buat pertama kalinya, 24Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia telah tersenarai dalam penarafan ini. Ini sudah tentu meningkatkan lagi keyakinan orang luar terhadap kualiti pendidikan tinggi di negara kita,” katanya.

Justeru, beliau menyeru entiti seperti EMGS supaya bergerak lebih aktif di dalam mempromosikan jenama pendidikan Malaysia, di peringkat antarabangsa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru