Friday, August 19, 2022

Kukuhkan kerjasama S’wak-Australia

Secara Rawak

PERTH: Sarawak optimis untuk mengukuhkan kerjasama dengan Australia dalam perniagaan dan perdagangan serta meneroka potensi pelaburan.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pada 2021, jumlah perdagangan antara Sarawak dan Australia ialah AU$1.1 bilion (RM3.6 bilion) dan nilai eksport Sarawak ke Australia ialah AU$0.4 bilion (RM1.2 bilion), terutamanya untuk petroleum mentah, papan lapis dan urea.

Beliau menambah nilai import Sarawak dari Australia pula ialah AU$0.7 bilion (RM2.4 bilion), terutamanya untuk bijih aluminium dan pekat. “Saya harap kita akan dapat membincangkan lebih lanjut mengenai bidang untuk Sarawak dan Australia mengukuhkan kerjasama dalam perniagaan dan perdagangan serta meneroka potensi pelaburan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengetuai delegasi Sarawak dalam Rangkaian Meja Bulat dengan Australia Malaysia Business Chamber Western Australia (AMBCWA), di sini barubaru ini.

Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan  (Mintred) menambah walaupun keadaan ekonomi global lembap, pertumbuhan ekonomi Sarawak pada 2021 dianggarkan antara 3 hingga 4 peratus.

“Memandangkan aktiviti ekonomi kami kembali normal dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa, pertumbuhan berterusan dalam sektor luar dan aktiviti domestik yang bertambah baik, kami telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 5 hingga 6 peratus pada 2022,” katanya.

Lebih 20 ahli AMBCWA menghadiri perbincangan meja bulat itu. Antara yang hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fikri Zakian dan juga Penaung AMBCWA merangkap Naib Presiden AMBCWA, Bernard Chia.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Abdullah Zaidel, pemangku Setiausaha Tetap Mintred Dzulkornain Masron, penasihat Mintred Datuk Naroden Majais dan pegawai khas Mintred Datu Liaw Soon Eng.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru