Thursday, August 18, 2022

Kepimpinan teknikal, politik

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak dalam proses untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula autonomi pendidikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, isu autonomi pendidikan adalah perkara yang negeri ini komited dan akan terus berunding kerana Sarawak amat mementingkan pendidikan sebagai peranan utama kepada Kerajaan Sarawak.

Katanya, usaha ini telah dimulakan oleh Allahyarham Pehin Tan Sri Adenan Satem yang memperjuangkan hak guru iaitu 90 peratus guru di Sarawak mesti dalam kalangan anak tempatan.

“Itulah sebabnya ia sangat penting kepada kita kerana seperti yang saya sebutkan, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting untuk Sarawak.

“Justeru, ini adalah satu perkembangan semula jadi bahawa kami mahu langkah seterusnya untuk mendapatkan semula autonomi bagi Sarawak sekali gus mempercepat proses untuk memenuhi Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi Kolej Antarabangsa FAME ke-18 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Menjelas lanjut, Sim berkata bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga menekankan mengenai pendidikan percuma kepada anak Sarawak.

“Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan, kita (Sarawak) sudah pun memulakan sistem pendidikan sendiri seperti lima kolej teknikal di bawah Centex, tiga universiti di bawah Yayasan Sarawak dan sekolah Antarabangsa.

“Justeru, bagi menyokong usaha Premier untuk bergerak ke arah PCDS ini, kita memerlukan banyak bakat hasil daripada sistem pendidikan sendiri ini, ” katanya lagi.

Sehubungan itu Sim berkata, sememangnya penting universiti awam dan swasta seperti Kolej FAME sejak 1998 telah membantu Kerajaan Negeri melahirkan bakat-bakat berkenaan.

“Sarawak perlukan keduaduanya, kepimpinan teknikal dan politik kerana walaupun kita mempunyai kepimpinan politik, kita masih perlukan teknologi, masih perlukan bakat, masih perlukan rakyat untuk memilikinya.

“Jadi harapan saya pada tahun 2030 rakyat akan bersedia,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 307 graduan kolej antarabangsa Fame menerima skrol mereka pada majlis graduasi tersebut. Hadir sama, Pengerusi Kolej Antarabangsa FAME Datuk Seri Khairil Awang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Antarabangsa FAME Malaysia  David Chee Yian Hui.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru