Friday, August 19, 2022

Dr Jeniri panel penasihat industri komunikasi

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune, Dr Jeniri Amir dilantik sebagai Panel Penasihat Industri Program Komunikasi di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau telah dimaklumkan secara rasmi mengenai pelantikannya selama dua tahun melalui surat rasmi yang dihantar oleh dekan fakulti Profesor Madya Dr Asmady Idris.

Sebagai ahli panel penasihat industri, Dr Jeniri akan bertanggungjawab untuk membantu Program Komunikasi dalam pelbagai perkara yang berkaitan hal ehwal pembangunan akademik seperti memberi khidmat nasihat dan maklum balas tentang keberkesanan kursuskursus tertentu dalam struktur kurikulum Program Komunikasi berdasarkan keperluan industri yang berkaitan.

Selain itu memberi cadangan tentang aspek penambahbaikan kursus-kursus tertentu dalam struktur kurikulum Program Komunikasi berdasarkan keperluan industri dan standard antarabangsa serta memberikan cadangan penambahbaikan berterusan kualiti program untuk memastikan graduan yang dilahirkan oleh program tersebut berkualiti dan menepati kehendak pasaran.

Di samping itu, beliau akan membantu Program Komunikasi memperkasakan hal ehwal penyelidikan, penerbitan, perundingan, persidangan dan kerjasama di antara Program Komunikasi dengan industri dalam dan luar negara.

Pada masa sama menggalakkan sangkut industri dalam kalangan ahli akademik dan pelajar dengan kerjasama pihak industri bagi meningkatkan kepakaran dan pengalaman ahli akademik dan pelajar di industri.

Pelantikan Dr Jeniri dilihat paling layak berdasarkan merit. Bekas Profesor Madya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu kini juga Profesor Adjung Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas.

Beliau terkenal sebagai ahli akademik, penganalisis politik, penulis dan kolumnis prolifik dan sering dijemput untuk mengendalikan bengkel penulisan buku dan menulis artikel serta ucapan pelbagai pihak.

Memperolehi ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam komunikasi politik dari Universiti Malaya pada 2008, beliau juga merupakan ahli kumpulan pemikir Kementerian Perpaduan Negara dan Felo Kanan Majlis Profesor Malaysia (MPN).

Sehingga kini, beliau telah menulis lebih 3,000 artikel termasuk ulasan yang diterbitkan dalam pelbagai akhbar dan majalah di negara ini.

Beliau juga telah mengarang lebih daripada 50 buah buku. Antara bukunya ialah Teknik Temu Bual, Buat Duit Dengan Menulis, Menulis Biografi, Rosli Dhoby: Merdeka Dengan Darah, Datu Bandar Abang Mustapha: Pejuang Kemerdekaan Sarawak dan Melanau di Sarawak.

Dr Jeniri adalah antara penganalisis politik terkemuka negara dan banyak dipaparkan di pelbagai saluran televisyen seperti Astro Awani, TV1, TV3, Bernama TV serta Channel News Asia di Singapura selain dipetik pelbagai media di negara ini.

Selain itu, Dr Jeniri juga merupakan penerima Anugerah Buku Kenyalang 2016, Anugerah Buku Negara 2014, Anugerah Buku Ilmiah Universiti Malaysia Sarawak 2014 dan Anugerah Penulis Prolifik Sarawak 1993.

Malah baru-baru ini, beliau telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 sempena Malam Wartawan Malaysia 2022 di Kuala Lumpur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru