Thursday, August 18, 2022

Dinosaur bergerak di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Dinosaur merupakan reptilia yang mendiami bumi hampir 230 juta tahun dahulu, bagaimanapun telah pupus kerana perubahan zaman dan keadaan alam sekitarnya.

Namun demikian, kini anda berpeluang mendekati lebih dekat pelbagai jenis dinosaur bergerak dan mengeluarkan bunyi hanya di Pusat Beli-Belah Aeroville Kuching.

Pameran yang dipanggil sebagai Dinoland ini diadakan di tapak letak kereta Aeorville Mall di Jalan Stutong Baru Muara, Kuching dibuka kepada orang ramai dari 17 hingga 30 Jun mulai jam 1.00 tengah hari hingga 10.00 malam.

Pengarah Aeroville Sdn Bhd Kapitan Tan Kun Gee ketika dihubungi menjelaskan bahawa Dinoland berkenaan merupakan usaha pihaknya untuk menarik lebih ramai orang berkunjung dan pada masa sama membeli-belah di Aeroville.

JOM DATANG… Suasana Dinoland yang menghimpunkan 20 replika dinosaur yang bergerak dan mengeluarkan bunyi. | Facebook Kapitan Tan Kun Gee

“Dalam pada itu, kita juga mahu mempromosikan Aeroville Mall ini yang mempunyai lokasi yang berpotensi untuk penganjuran pelbagai program di Kuching.

“Dengan adanya ruang yang cukup besar sama ada di dalam pusat beli-belah mahupun di tempat letak kereta, pelbagai aktiviti serta program boleh dilaksanakan oleh pelbagai agensi yang ingin berkolaborasi dengan kami,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Mengenai Dinoland jelasnya, beliau mahu menyediakan ruang hiburan tambahan kepada penduduk Kuching dan Sarawak secara amnya terutama ruang untuk seisi keluarga berkunjung meluangkan masa bersama.

“Setelah dua tahun kita menjalani perintahan kawalan pergerakan (PKP) inilah ruang bagi masyarakat bersama-sama keluarga berkunjung ke Aeroville ini.

“Menariknya dalam Dinoland ini terdapat 20 jenis replika dinosaur boleh dilihat. Setiap dinosaur ini boleh bergerak dan mengeluarkan bunyi. “Antaranya T-Rex (Triceratops), Stegosaur, Velociraptor, Spinosaurus, Allosaurus, Archaeopteryx dan banyak lagi replika dipamerkan di sini,” katanya lagi.

Untuk berkungjung ke Dinoland ini, tiket bagi dewasa RM10 dan bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun RM5.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk berkunjung ke Pusat Beli-Belah Aeroville dan mereka dibenarkan merakam foto selfie bersama-sama keluarga dengan replika bergerak dinosaur ini.

Terdahulu pameran yang sama telah diadakan di Taman Norma Baharu Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan tema “Dinosaur di Borneo” pada 10 Jun dan kini dibuka hingga 12 Julai ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru