Thursday, August 18, 2022

Berwaspada dan lapor kepada polis mengenai jenayah komersial

Secara Rawak

KUCHING: Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan merujuk kepada pihak berkuasa agar tidak menjadi mangsa jenayah komersial.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kes jenayah komersial tidak dinafikan berlakunya peningkatan khususnya membabitkan pembelian dalam aplikasi e-dagang serta peraduan yang menawarkan hadiah lumayan.

Jelasnya, masyarakat tidak mungkin memenangi sesuatu cabutan bertuah yang tidak disertai atau dari sesuatu peraduan yang tidak diperakui.

“Ramai yang membuat laporan dan kita akui ia semakin meningkat.

“Hasil dari siasatan yang dibuat, majoriti mangsa yang terlibat seharusnya merujuk dahulu kepada pihak berwajib termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya menerima tawaran yang lumayan atau tawaran terlalu mewah dan terlalu cantik didengar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini.

Justeru katanya, orang ramai harus mempunyai kesedaran yang tinggi dan bertindak proaktif melaporkan unsur penipuan jenayah komersial tersebut.

Tambahnya, masyarakat juga diingatkan agar tidak mudah percaya dengan tawaran yang indah khabar dari rupa dan menyerahkan maklumat diri sewenang-wenangnya kepada pihak yang tidak dikenali.

Dalam masa yang sama beliau menegaskan pihaknya akan memburu suspek-suspek yang terlibat dalam jenayah komersial.

Dalam pada itu Ahsmon berkata, jenayah indeks bagi enam bulan pertama tahun ini menunjukkan penuruan sebanyak 32.29 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, indeks jenayah harta benda juga turut menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 38.67 peratus.

“Sebanyak 520 kes dicatatkan pada tahun 2021 dan 319 kes pada tahun 2022 dengan penurunan sebanyak 201 kes,” jelasnya.

Ahsmon (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada pesara polis sempena Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini

Manakala, katanya, kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 30.19 peratus.

Bagi kes jenayah narkotik, beliau berkata, sebanyak 900 kertas siasatan telah dibuka sepanjang Januari hingga Jun ini.

Sementara katanya, seramai 1,041 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan bersabit dengan kes narkotik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru