Friday, August 19, 2022

Beri nilai tambah pelbagai sumber

Secara Rawak

KUCHING: Masyarakat Dayak di Sarawak mempunyai aset tanah yang boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan aktiviti pertanian, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan perlu diusahakan untuk produktiviti yang baik. “Dalam perkara ini pertanian komersial adalah jawapannya, dan aktiviti pertanian juga mesti menggunakan teknologi moden.

“Ini termasuk menggunakan proses digital dalam usaha kita menghasilkan lebih banyak makanan dan komoditi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam kelmarin.

Sehubungan itu, tambahnya dunia kini sedang berhadapan dengan krisis makanan dan jika dilihat dengan keluasan tanah di Sarawak ia sepatutnya tidak menjadi masalah kepada negeri ini untuk mengeluarkan lebih banyak makanan.

“Ia boleh diatasi selagi kita tahu cara untuk menggunakan tanah kita melalui perancangan struktur dan teknologi moden,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Sarawak mempunyai banyak sumber yang juga merupakan aset penting kepada negeri ini.

“Dari segi ekonomi, aset sangat berharga kepada kita dan dengan syarat kita tahu untuk cara menguruskannya sekali gus memberi nilai tambah kepada aset yang sedia ada.

“Dalam hal ini, kita juga sedang berusaha sedaya upaya untuk memberi nilai tambah kepada pelbagai sumber yang ada di Sarawak,” jelasnya.

Abang Johari memaklumkan negeri ini juga mesti dibangunkan seiring dengan pembangunan semasa.

“Kita tidak boleh melihat Sarawak semata-mata, tetapi setiap pendekatan yang kita ambil mestilah relevan dengan apa yang berlaku di seluruh dunia,” tegasnya.

Majlis tersebut juga turut menyaksikan Abang Johari meluluskan permintaan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Penasihat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) Datuk Gerawat Gala untuk menambah peruntukan bagi persatuan tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru