Thursday, August 18, 2022

Unimas sedia bantu Sarawak tubuh Pusat Agrotek

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bersedia untuk membantu Kerajaan Sarawak dalam usaha menubuhkan Pusat Agrotek di Samarahan sebagai persediaan bagi penghasilan makanan di bahagian ini.

Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, pusat tersebut juga akan memperkenalkan pertanian moden sebagai agenda utama seterusnya meningkatkan pengeluaran makanan di Sarawak.

Menurutnya, baru-baru ini dalam majlis perasmian Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyarankan agar Unimas bersama-sama membantu dalam penubuhan Pusat Agrotek di Samarahan.

“Justeru, Unimas sedia membantu usaha tersebut malah sekumpulan penyelidik telah turun padang dan meneroka peluang pembangunan sektor ekonomi pertanian moden, keselamatan makanan dan insya-Allah akan dibentangkan kepada Kerajaan Sarawak dalam tempoh terdekat ini.

“Unimas mempunyai kepakaran dalam bidang agrotek dan pertanian moden yang boleh diketengahkan, kita melihat perkembangan teknologi dalam pertanian sebagai satu agenda penting untuk pembangunan sektor pertanian moden di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Komemoratif, Unimas di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) dekat sini, hari ini.

Dalam hal berkaitan, Kadim memberitahu Pusat Agrotek tersebut juga seiiring dengan penawaran program Sarjana Muda Agrotek yang  memulakan pengambilan pelajar pada Oktober tahun ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru