Friday, August 19, 2022

Uggah kini Pro Canselor kelima Unimas

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Amar Douglas Uggah Embas secara rasmi dilantik sebagai Pro Canselor kelima Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi istiadat pemahsyuran disempurnakan Pro Canselor merangkap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR) UNIMAS, hari ini.

Istiadat pemahsyuran Pro Canselor kelima UNIMAS itu diadakan bersama dengan sidang hari pertama Konvokesyen Komemoratif UNIMAS yang menyaksikan seramai 3,695 graduan dalam pelbagai peringkat pengajian tahun 2020 bakal bergraduat.

Uggah dilantik sebagai Pro Canselor selama tiga tahun berkuat kuasa pada 24 Januari 2022 hingga 23 Januari 2025 dengan mendapat perkenaan daripada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merangkap Canselor UNIMAS pada 10 Februari 2022 yang lalu.

“Pelantikan ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang cukup besar bagi melakar dan mendorong UNIMAS memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan peradaban negara, serta membawa nama UNIMAS terus bersemarak di peringkat antarabangsa.

“Saya akan bertanggungjawab untuk memperkasakan UNIMAS khususnya di bumi kenyalang tercinta ini lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia diduga dengan penularan wabak Covid-19.

“Saya percaya komitmen dan produktiviti kerja yang ditunjukkan tetap pada tahap cemerlang,” katanya ketika berucap bersempena majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS, hari ini.

Beliau turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada pihak pengurusan tertinggi dan seluruh warga UNIMAS yang telah memberi sokongan serta kepercayaan untuk mendorong dalam melonjakkan pencapaian dan kecemerlangan UNIMAS ke tahap yang dijulang.

Di samping itu, Uggah dalam ucapannya yakin Pelan Strategik UNIMAS 2021-2025 akan menjadi satu perancangan yang akan menjulang UNIMAS sebagai sebuah universiti lestari dikenali di peringkat global masa hadapan.

“Sebagai sebuah institusi ilmu terpenting di negeri ini, UNIMAS perlu memainkan peranan besar bukan sahaja membangunkan modal insan tetapi dapat melahirkan modal insan kelas pertama yanh berkebolehan memacu oembangunan komuniti.

“Saya percaya kepakaran dimiliki ahli-ahli akademik dalam pelbagai disiplin ilmu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri ini, ” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru